Kisah Burung Ababil Musnahkan Tentera Bergajah Abrahah

Assalammu'alaikum wbt kepada pembaca yang dirahmati Allah. Peristiwa serangan bergajah telah dikisahkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Sirah. Di antaranya ialah Imam al Qurtubi yang menyebut di dalam kitab tafsirnya. Rentetan peristiwa ini bermula dengan seorang gabenor Habsyah di Yaman bernama Abrahah al Ashram. Yaman menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Habsyah pada zaman dahulu dan orang yang menjadi wakil Raja Habsyah di situ adalah Abrahah al Ashram.


Kisah Burung Ababil Musnahkan Tentera Bergajah Abrahah

Kisah serangan tentera Abrahah ke atas Kaabah lalu dimusnahkan oleh burung Ababil ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Fill.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Dia (Allah) telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, Lalu Dia (Allah) menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. (Surah Al-Fill, ayat 1 - 5)

Abrahah membina sebuah gereja yang dinamakan "al Qulais" yang didirikan di Sana'a. Gereja itu cantik hingga tidak ada tandingannya pada zaman itu.

Abrahah menulis kepada Najasyi, Raja Habsyah dengan memberitahu bahawa dia telah membina sebuah gereja yang cantik, belum pernah dibina oleh orang lain. Tujuannya adalah mahu memalingkan orang-orang Arab daripada pergi menunaikan haji di Makkah kepada melawat ke gereja yang dinamakannya al-Qulais.

Kaabah telah menjadi tempat kunjungan orang-orang Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Setelah Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim, Kaabah menjadi tempat ibadat. Kemudian dalam beberapa tempoh yang panjang, orang Arab mula menyembah berhala. Walaupun mereka menyembah berhala, tetapi mereka tetap memuji dan memuja Kaabah. Mereka menunaikan haji pada tiap-tiap tahun, di mana ibadat haji merupukan ibadat yang telah dilakukan sebelum kedatangan Islam, kemudian dinyatakan oleh Islam dan diperbetulkan mengikut syariat Allah.

Orang-orang Arab masih tetap mengunjungi Kaabah. Abrahah membuat pengisytiharan bahawa dia tidak mahu orang-orang Arab mengunjungi Kaabah tetapi mengunjungi al Qulais. Apabila mendengar berita demikian, orang-orang Arab yang terlalu memuja Kaabah menjadi marah. Tiba-tiba seorang Arab dari kabilah "an Nasah" pergi ke Yaman, datang ke gereja al Qulais, lalu membuang najis di situ. Selepas itu, dia melarikan diri.

Gereja Al-Qulais (Cathedral-of-Abraha) masa kini.
Gereja Al-Qulais (Cathedral-of-Abraha) masa kini.

Setelah Abrahah mengetahui orang yang membuat perkara ini adalah seorang Arab, dia telah mengambil satu tindakan berani mengikut hawa nafsu dengan menyediakan satu kelengkapan untuk bermusafir ke Makkah bertujuan hendak meruntuhkan Kaabah, BaitilLah Haram yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim A.S. Dia bersumpah bahawa dia wajib pergi Baitillah dan meruntuhkannya.

Dalam angkatan tenteranya ada seekor gajah yang digunakan sebagai kenderaan. Mengikut sesetengah ulama seekor gajah, sebahagian ulama lain pula berpendapat bukan seekor, tetapi lapan ekor gajah menyertai pasukan Abrahah. Namun begitu mengikut kebanyakan ulama, jumlah gajah tersebut hanya seekor sahaja. Inilah keterangan yang lebih tepat pada pandangan mereka bahawa Abrahah bersama seekor gajah dan turut diiringi anggota tenteranya menuju ke Makkah.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan orang-orang Arab bahawa Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah, maka beberapa kabilah bertindak membentuk beberapa pasukan untuk menyerang Abrahah bertujuan untuk menghalangnya daripada sampai ke Makkah. Di utara sebuah kabilah Zu Nahar, merupakan satu kabilah Arab di Yaman. Mereka mengerahkan kaumnya membentuk satu pasukan, untuk menyerang Abrahah. Namun, hanya dengan kekuatan 1% sahaja tentera-tentera Abrahah dapat mengalahkan mereka. Beberapa kabilah lain turut menyerang pasukan Abrahah, tetapi masih tidak mampu mengalahkan mereka, bahkan ketua-ketua kabilah ini telah ditawan oleh tentera Abrahah.

Terdapat juga di kalangan orang Arab yang sanggup menjadi pemandu jalan kepada Abrahah. Apabila Abrahah menang, sudah tentu dia juga ikut menang. Biarpun apa yang dimenangi itu salah. Penunjuk jalan ini dikenali sebagai "Abu Ghiral". Abu Ghiral menjadi penunjuk jalan kepada Abrahah menuju ke Makkah. Setelah Abu Ghiral meninggal dunia, kuburnya direjam oleh orang Arab. Orang Arab yang pergi ke Makkah menunaikan haji bukan sahaja melontar jamrah, bahkan juga melontar kubur Abu Ghiral.

Tentera Bergajah Abrahah

Abrahah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir Makkah dan merampas beberapa ekor unta. Mengikut riwayat 200 ekor unta milik Abdul Mutalib, datuk Rasulullah S.A.W. Pada masa itu, Abdul Mutalib menjadi pemimpin Makkah. Abrahah telah menghantar utusannya menemui pemimpin-pemimpin Makkah memberitahu tujuan kedatangan mereka bukan untuk membunuh orang, tetapi untuk meruntuhkan Kaabah, kerana dendam gereja mereka yang bernama "al Qulais" telah dikotorkan oleh orang Arab.

Abdul Mutalib datang bersama-sama rombongan yang dianggotai pemimpin-pemimpin Arab menemui Abrahah. Setelah berjumpa, Abrahah bertanya apa yang dikehendaki. Abdul Mutalib menjawab, "Aku hanya minta kamu membebaskan 200 ekor unta yang kamu rampas."

Abrahah tercengang lalu bertanya, "Kenapa kamu sayangkan unta tetapi tidak sayang kepada Kaabah yang kamu puja. Kamu hanya minta unta, terlalu senang untuk kami berikan. Kamu hanya minta dikembalikan unta kamu. Kenapa kamu tidak menahan kami yang mahu meruntuhkan Kaabah."

Abdul Mutalib menjawab tegas, "Unta yang kamu rampas itu kepunyaanku sedangkan Kaabah itu ada pemiliknya (Tuhan). Allah adalah pemiliknya dan Allah akan menjaganya. Aku hanya orang yang beribadat kepada Kaabah. Urusan menjaga Kaabah terserah kepada pemiliknya dan bukan urusanku."

Unta Abdul Mutalib dipulangkan. Setelah dipulangkan, Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya penduduk Makkah pulang dan mereka menyembunyikan diri di atas bukit kerana takut kepada tentera Abrahah. Sudah tentu ada di antara mereka yang ganas. Mereka menyembunyikan diri di sana sambil memerhatikan tindakan tentera Abrahah ke atas Kaabah. Mengikut setengah riwayat, apabila Abrahah sampai di Kaabah, seorang penduduk Makkah membisikkan ke telinga gajah dengan berkata, "Jangan kamu robohkan Kaabah. Lebih baik kamu balik kerana Kaabah adalah rumah Allah. Yang menjaganya juga Allah."

Allah Taala yang memeliharanya dan Allah Taala juga yang menjaganya. Salah satu perkara yang menakjubkan adalah bala tentera Allah itu ada yang taat dan ada yang tidak taat. Kadang-kadang bala tentera binatang menjadi bala tentera Allah Taala yang lebih taat kepada Allah berbanding manusia yang mempunyai akal fikiran.

Apabila gajah itu dihalakan ke Kaabah, ia pusing ke belakang, duduk dan tidak mahu berjalan, biarpun dipukul teruk. Apabila berpusing ke belakang (arah lain), ia berjalan dan berlari. Apabila dihala ke Syam ia berjalan, dihala ke Yaman ia berjalan, tetapi apabila di hala ke Kaabah semula ia tidak mahu berjalan.

Saat yang cemas ini mengikut riwayatnya, Abdul Mutalib telah bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Di antara doa yang dibacakan oleh Abdul Mutalib yang bermaksu, "Wahai Tuhan! Sesungguhnya hambamu (Abrahah) telah mencegah dari kalangan hambaMu yang lain dari menunaikan ibadat di Baitullah tanah sucimu. Maka tegahkanlah mereka. Jangan jadikan mereka itu menang dan jadikanlah perancangan mereka suatu yang mustahil. Jika mereka masuk ke tanah haram, maka urusannya terserah padaMu, wahai Tuhan-ku."

Mengikut setengah riwayat lain, Abdul Mutalib memegang halqah pintu Kaabah dan terus berkata, "Wahai Tuhanku, aku tidak berharap kepada mereka melainkan kepadaMu. Wahai Tuhanku, halanglah mereka dengan peliharaanMu. Wahai Tuhanku, sesungguhnya musuh BaitiLlah datang menceroboh kepadaMu. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengalahkan kekuasaanMu."

Masyarakat Arab pada waktu itu merasakan kehebatan tentera-tentera bergajah milik Abrahah kerana mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kekuatan tentera seperti itu, sedangkan orang Arab pada masa itu tidak ada gajah. Namun, tipu daya yang dilakukan Abrahah dan pengikutnya membina al Qulais dan merancang untuk meruntuhkan Kaabah, menjadi satu kesesatan yang kemudiannya dihapuskan oleh Allah Taala. Allah mengutuskan kepada mereka rombongan burung, yang datang berkawan, rombongan demi rombongan.


Mengikut Said bin Jubair, penghulu para tabi'en, burung ini adalah sejenis burung yang tidak dikenali. Tidak pernah dilihat di bumi. Sesetengah ulama berkata ia seperti kelawar dan pelbagai gambaran. Perbincangan mengenai jenis burung ini menjadi khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang paling baik adalah burung ini adalah burung khas yang dihantar oleh Allah. Allah mengutus mereka burung yang berombongan. Burung-burung ini melontarkan kepada mereka dengan batu yang dibakar hangus. Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, satu di paruh dan dua di kaki.

BACA JUGA: Makhluk Allah Paling Lemah, Membinasakan Kekuatan Tentera Namrud

Sebahagian ulama berkata, batu ini telah dimasak di dalam api neraka jahannam dan pada setiap batu telah ditentukan nama siapakah sasarannya. Allah sudah menentukan nama-nama pada batu-batu yang dibawa oleh burung untuk mempertahankan Kaabah. Mereka dilontar dengan batu-batu yang dibakar hangus.

Hal ini sebagaimana yang dinaqalkan di dalam "As Sihah", batu-batu tersebut dibakar di dalam neraka jahanam, yang ditentukan namanya oleh Allah dan yang ditentukan sasarannya oleh Allah.

Maka jadilah mereka seperti pohon-pohon kayu yang dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menjadi menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah Taala kepada "ashabul fil", dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang BaitiLlah Haram.


Peristiwa ini berlaku menurut kadar tempoh 50 tahun sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W, dan tahun 570 M iaitu selepas zaman Nabi Isa A.S diangkat ke langit. Selepas itu, dibangkitkan pula Nabi Muhammad S.A.W, maka disebut bahawa Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada bulan Rabiul Awal tahun gajah. Maksud tahun gajah ialah kurun peristiwa bersejarah apabila tentera bergajah menyerang Kaabah dimusnahkan Allah. WaAllahu'alam.

Sumber: Tafsir Surah Al-Fill

No comments