Terkini Berita Kehilangan Pesawat MH370 | Peta Laman | Komen | Exchange Link | Backlink | Jawatan Kosong Contact Us | Disclaimer | Privacy Policy
Terkini ►

Fiqh Solat - Bacaan Al-Fatihah dan Surah


Assalammu'alaikum kepada pembaca yang dirahmati Allah,
Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil 
Apa hukum membaca al-Fatihah di dalam solat?
Membaca al-Fatihah adalah wajib pada setiap rakaat solat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.
Apakah syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna?
1. Membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.
2. Wajib menjaga makhraj serta tajwidnya. Begitu juga, wajib mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama.
3. Hendaklah dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.
Adakah Bismillah sebahagian dari al-Fatihah?
Ya. Bismillah adalah sebahagian dari al-Fatihah dan wajib dibaca tatkala membaca al-Fatihah. Dalilnya ialah apa yang tertera di dalam mushaf al-Quran di mana Bismillah ditulis sebagai ayat pertama dari al-Fatihah dan apa yang ditulis di dalam al-Quran merupakan ijmak para Huffaz.
Bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?
Dalam masalah ini ada dua pandangan;
Pandangan pertama; iaitu pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; Bismillah wajib dibaca dengan kuat (yakni diperdengarkan) kerana ia adalah salah satu ayat dari al-Fatihah sebagaimana yang tertera di dalam mushaf. Terdapat hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan: “Rasulullah menghitung Bismillah sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang soheh. Kedudukan sanad hadis ini sebagai soheh juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131).).
Dalam musnad Imam Syafi’ie terdapat riwayat dari Soleh Maula at-Tauamah yang menceritakan; “Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. membuka solatnya dengan membaca Bismillah”. (Hadis yang miripnya diriwayatkan juga oleh Abdurrazzaq, ad-Daruqutni, Ibnu al-Jarud, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Darjatnya adalah soheh menurut Imam ad-Daruqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, ditahqiq dan ditakhrij oleh; Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)).
Pandangan kedua; iaitu pandangan jumhur ulamak; Bismillah hendaklah dibaca secara perlahan, tidak dikuatkan. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Aku telah pernah menunaikan solat bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Ustman, maka aku tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka yang membaca Bismillah”. (Riwayat Imam Muslim)
Dalam menselarikan antara dua riwayat yang zahirnya kelihatan saling bercanggah itu, ada baiknya kita mengambil pandangan Imam Ibnu Khuzaimah yang menyebutkan; membaca Bismillah dengan kuat atau membacanya dengan perlahan kedua-duanya adalah harus kerana kedua-duanya dilakukan oleh Rasulullah. Tidak ada salah satu darinya yang dilarang.
Perbezaan dalam hal ini adalah diharuskan. (Lihat; ulasan Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib dalam Musnad Imam as-Syafi’ie, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)). Hal yang sama ditegaskan oleh Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Rasulullah s.a.w. adakalanya baginda membaca Bismillah dengan kuat, namun baginda menyembunyikannya (yakni membacanya dengan suara perlahan) adalah lebih kerap dari menguatkannya. (Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1)
Adakah makmum juga perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Atau memadai dengan bacaan al-Fatihah imamnya?
Dalam masalah ini ada dua pandangan ulamak;
Pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak.
Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Kedua; menurut jumhur ulamak (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya. Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;
(Pertama); ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya. Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya. Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.
(Kedua); jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.
Ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat” (surah al-A’raf, ayat 204). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-),
dan juga sabdanya;
Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah).
Mengenai hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie di atas, mereka menjawab; hadis itu khusus untuk orang yang mengerjakan solat bersendirian atau untuk makmum yang tidak dapat mendengar bacaan imamnya. Adapun ucapan Abu Hurairah ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’, ucapan tersebut merupakan pandangan beliau (bukan arahan Nabi), atau mungkin juga bacaan yang beliau maksudkan ialah bacaan ketika imam senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah. (Al-Mughni, 1/392-393).
Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?
Ya. Sebahagian ulamak –antaranya Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad- mensunatkan imam supaya berhenti seketika selepas membaca al-Fatihah (sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah yang lain) bagi memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah di belakangnya. Mereka berdalilkan hadis dari Samurah bin Judub –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa ia menghafal dari Nabi (yakni dari perbuatan baginda ketika solat) dua saktah (yakni dua ketika di mana baginda sengap); (pertama) selepas baginda mengucapkan Takbiratul-Ihram, dan (kedua) selepas membaca
“غير المغضوب عليهم ولا الضالين”
(yakni selepas membaca al-Fatihah)” (riwayat Imam Abu Daud).
Namun sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik- memakruhkannya. Menurut mereka hadis di atas adalah dhaif. (Al-Mughni, 1/346).
Apa hukum membaca Isti’azah sebelum membaca al-Fatitah? Adakah ia perlu di baca di setiap rakaat?
Membaca Isti’azah disunatkan sebelum membaca al-Quran sama ada di dalam solat atau di luar solat. Firman Allah (bermaksud); “Apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka hendaklah (terlebih dahulu) kamu memohon perlindungan dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (al-Nahl: 98).
Menurut Imam Syafi’ie; Isti’azah sunat diulangi pada setiap rakaat dan yang paling utama ialah pada rakaat pertama. Imam Abu Hanifah pula berpandangan; Isti’azah hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja. Tidak sunat diulangi pada rakaat-rakaat yang lain.
Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?
Lafaz pertama;
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”.
Lafaz ini diambil dari ayat al-Quran tadi.
Lafaz kedua;
أعُوذُ باللّه السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ الشَّيْطانِ الرََّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
“Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha mendengar lagi mengetahui dari kejahatan syaitan yang direjam; dari kegilaannya, kebongkakannya dan sya’irnya”.
Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- selepas membaca doa Iftitah, baginda membaca Isti’azah di atas sebelum membaca al-Fatihah. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain)
Apa hukum mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah? Adakah makmum mengucapkan aamin serentak dengan imam atau selepas imam mengucapkannya?
Mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila imam selesai membaca
“غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”,
maka hendaklah kamu membaca; “آمِينَ” (aamin)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Musa –radhiyallahu ‘anhu-). Sabda Nabi lagi; “Apabila qari (yakni imam) telah membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu orang di belakangnya (yakni makmum) membaca; “آمِينَ” dan bertepatan bacaan aminnya dengan bacaan amin penduduk langit (yakni para malaikat), nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim).
Mengucapkan aamin itu disunatkan kepada orang yang bersolat sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum. Dalam solat jahriyyah sunat ucapan aamin diperdengarkan dan dalam solat sirriyyah sunat diperlahankannya iaitu mengikut bacaan al-Fatihah. Dalam solat berjamaah, makmum hendaklah mengucapkan aamin serentak dengan imamnya, iaitu tidak mendahuluinya dan tidak juga selepasnya, akan tetapi bersama-samanya berdalilkan hadis Abu Musa di atas.
Apa hukum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?
Hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)
Adakah ayat atau surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada setiap rakaat?
Tidak. Ia hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di salam solat Zohor dan Asar al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Riwayat Imam Muslim).
Adakah disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah di dalam solat jenazah?
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak disunatkan.
Adakah sunat bacaan ayat atau surah selepas al-Fatihah itu dimulakan dengan Bismillah?
Menurut Imam Ibnu al-Qudamah; disunatkan dan hendaklah dibaca perlahan.
Apakah perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat atau surah di dalam al-Quran?
1. Disunatkan di dalam solat subuh dan zohor membaca surah-surah dari kelompok“طوال المفصل”. Di dalam solat asar dan isya’ disunatkan “أوساط المفصل” dan disunatkan“قصار المفصل” dalam solat maghrib.
2. Disunatkan bacaan dalam rakaat pertama lebih panjang dari rakaat kedua. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. membaca pada dua rakaat pertama dari solat zohor surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dan memendekkannya pada rakaat kedua dan adakalanya memperdengarkan ayat kepada kami (yakni membaca dengan kuat hingga didengari oleh kami). Dan baginda membaca dalam solat asar surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama. Begitu juga, baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dari solat subuh dan memendekkannya pada rakaat kedua”. (Riwayat Imam Bukhari)
3. Membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca ayat-ayat dengan kadarnya dari surah-surah panjang. Ini berdasarkan hadis-hadis tadi yang menyebutkan; “Nabi membaca al-Fatihah dan surah”.
4. Disunatkan bacaan mengikut tertib surah dan ayat di dalam mushaf iaitu dibaca dalam rakaat pertama ayat atau surah yang terdahulu susunannya dari ayat atau surah yang akan dibaca dalam rakaat kedua. Makruh melakukan sebaliknya, namun jika dilakukan tidaklah membatalkan solat.
5. Harus membaca di dalam solat mengikut mana-mana wajah qiraat yang tujuh. Adapun wajah qiraat yang syaz, maka tidak harus.
Adakah makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?
Jika solat yang ditunaikan secara berjamaah adalah solat sirriyyah (yakni solat yang solat yang tidak diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah sebagaimana imamnya juga. Ini berdasarkan hadis dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Kami membaca di dalam solat Zohor dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (yakni rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).
Akan tetapi, janganlah menguatkan bacaan hingga mengganggu ahli jamaah yang lain. Sabda Nabi; “Sesungguhnya orang yang menunaikan solat ia sedang bermunajat dengan Tuhannya. Hendaklah ia perhatikan dengan apa ia munajatkan. Janganlah sebahagian kamu mengeraskan suara ke atas sebahagian yang lain tatkala membaca al-Quran” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Hurairah dan ‘Aisyah). Dari ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. telah menunaikan solat zohor –atau asar- bersama kami. (Lalu seorang lelaki membaca di belakang baginda surah “سبح اسم ربك الأعلى” dengan suara yang kuat). Maka (apabila selesai solat) Rasulullah bertanya; ‘Siapakah yang membaca di belakangku surah “سبح اسم ربك الأعلى”? Lelaki itu menjawab; Saya ya Rasulullah! Namun saya tidak bermaksud melainkan dengan tujuan yang baik. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata; “Sesungguhnya aku mendapati sebahagian dari kamu telah menyanggahiku dengan bacaannya (yakni mengganggu bacaanku dengan bacaannya yang kuat)” (Riwayat Imam Muslim).
Adapun jika solat yang dikerjakan berjamaah itu adalah solat jahriyyah, maka tidak disunatkan makmum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah. Ia hendaklah mendengar bacaan imam sahaja sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Namun dikecualikan jika makmum berada jauh dari imam dan tidak dapat mendengar bacaannya, maka ketika itu disunatkan ia membaca sendiri ayat atau surah.
Apa maksud solat jahriyyah dan solat sirriyyah? Apa kaedah dari Syarak untuk menentukan antara keduanya?
Solat jahriyyah bermaksud solat-solat yang mana bacaan al-Quran (yakni al-Fatihah dan ayat atau surah selepasnya) di dalamnya sunat diperdengarkan. Solat Sirriyyah pula ialah solat-solat yang mana bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperlahankan atau disembunyikan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Dalam setiap solat ada bacaan. Maka apa yang diperdengarkan kepada kami oleh Nabi s.a.w., maka kami perdengarkan kepada kamu dan apa yang disembunyikannya dari kami, maka kami sembunyikannya dari kamu” (Riwayat Imam Muslim). Hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat solat di mana Rasulullah memperdengarkan bacaannya (yakni membaca surah al-Fatihah dan ayat/surah selepasnya dengan suara kuat) dan ada solat di mana baginda menyembunyi (yakni memperlahankan) bacaannya.
Bagi solat-solat fardhu, kaedah menentukan antara keduanya adalah seperti berikut;
  1. Bagi solat subuh dan solat jumaat, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada kedua-dua rakaatnya.
  2. Bagi solat maghrib dan isyak, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada dua rakaat yang awal sahaja. Adapun rakaat ketika atau keempat, hendaklah disembunyikan bacaan.
  3. Bagi solat zohor dan asar, disunatkan menyembunyikan bacaan pada keseluruhan rakaatnya.
Bagi solat sunat pula; kaedahnya ialah;
  1. Bagi solat hari-raya dan istisqa’ disunatkan memperdengarkan bacaan.
  2. Solat-solat sunat siang (نوافل النهار) disunatkan menyembunyikan bacaan.
  3. Solat-solat sunat malam (نوافل الليل); ada dua pandangan; (pertama) disunatkan memperdengarkan bacaan, (kedua) dibaca secara sederhana antara memperdengar dan menyembunyikannya. Pandangan yang rajih ialah yang kedua.
  4. Solat kusuf (gerhana matahari/bulan); jika berlaku gerhana di siang hari, maka disunatkan menyembunyikan bacaan dan jika gerhana pada malam hari, disunatkan memperdengarkan bacaan.
Bagi solat qadha’, jika solat yang tertinggal adalah solat malam (iaitu maghrib, isya’ dan subuh), sekiranya diqadha’ pada malam yang lain, maka sunat diperdengarkan bacaan. Jika diqadha’ pada waktu siang, sunat disembunyikan bacaan. Jika yang tertinggal adalah solat siang (yakni zohor dan asar) dan diqadha pada siang hari, maka sunat disembunyikan bacaan. Adapun jika diqadha pada malam hari, maka sunat diperdengarkan bacaan. Kesimpulannya, yang dijadikan perkiraan ialah bila solat qadha itu ditunaikan; di waktu siang atau di waktu malam.
Adapun solat jenazah, sunat disembunyikan bacaan sama ada dikerjakan pada waktu siang atau malam. Oleh kerana, memperdengar atau menyembunyikan bacaan dalam masalah-masalah di atas hukumnya sunat sahaja, maka jika dicanggahi tidaklah membawa kepada batalnya solat, malah tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

Sumber: (http://fiqh-am.blogspot.com)

L'AROME SERUM AJAIB: 230314
ezybuzz hosting
Written by: Admin on Sunday, February 17, 2013
Perhatian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap komentar blog yang diutarakan melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian admin. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

6 komentar untuk "Fiqh Solat - Bacaan Al-Fatihah dan Surah"

Sheila Salim said...

Assalamualaikum abg waazin, terima kasih kerana berkongsi ilmu agama dengan semua. bagus dan bermanfaat untuk semua. alhamdullilah :)

Waazin Aiman said...

Wa'alaikumussalam wbt.. sama-sama, Shiela... alhamdulillah..

Linda Lyn said...

Thanks atas pkongsian...alhamdulillah

AAFarhan said...

Dalam alfatihah ada mad aridh lilsukun kan,
Boleh tak kalau ayat 1 kita 2 harakat,
Ayat kedua 4 harakat,
Ayat ketiga 6 harakat..
Contohnya camtu.. boleh ke tak ustaz?

harap dpt menjawab disini atau di emel saya ayzal93.smashingboyz@gmail.com

nilzalutazan said...

Alhamdulillah dan terima kasih.. Segala soalan dan jawapan sangat jelas dan mudah difahami.

nilzalutazan said...

Alhamdulillah dan terima kasih. Soalan dan jawapan sangat jelas. Terima kasih di atas perkongsian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
JENAYAH SANA SINI
ISU SEMASA

EDISI PELIK

KONSPIRASI DUNIA

NUR HIDAYAH

Jam Tangan Lelaki, Wanita dan Kanak-Kanak Berkualiti Pelbagai Jenama di LazadaLaptop Pelbagai Jenama di LazadaTelefon Pintar, Tablet dan Gadjet Pelbagai Pilihan di LazadaKamera Digital Pelbagai Pilihan di LazadaPeralatan Dapur Pelbagai Pilihan di LazadaTV dan Peralatan Elektronik Pelbagai Pilihan di Lazada
BERITA & INFORMASI

BERITA GLOBAL

RAGAM MANUSIA

KESESATAN SYIAH

DUNIA ARTIS

FaceookGoogle+TwitterLinkeDinEmail