Terkini

Penipuan - Awas, Berhati-hati Dengan Tawaran Kemasukan Ke IPTS

Tidak lama lagi, keputusan SPM akan keluar, Banyak surat tawaran kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) diterima oleh pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM. Yang PELIKNYA, keputusan SPM belum keluar, tetapi, sudah ditawarkan kemasukan untuk pengajian tinggi.


Penipuan - Berhati-hati Dengan Tawaran Kemasukan Ke IPTS
Surat-surat tawaran ke IPTS melambak diterima oleh seorang pelajar
BAGAIMANA jika pelajar itu GAGAL teruk dalam keputusan SPM.?? Mereka (tauke-tauke pengusaha IPTS) ni tak ambil peduli semua tu.. yang penting, ibu-bapa atau pelajar mendaftar dengan mereka.. dan membawa sejumlah wang tertentu untuk membayar yuran semasa pendaftaran kemasukan nanti.

Dalam surat tawaran mereka, semua LOGO universiti tempatan ada,, ada juga yang berani menggunakan logo Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Unit Pengambilan Universiti (UPU), bertujuan untuk mengabui mata pelajar dan ibu-bapa.

BACA JUGA: Awas, Jangan terpedaya sindiket penipuan kemasukan pelajar ke IPTA

Ada sesetengah pihak pula menghantar surat kepada pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM, untuk hadir temuduga kemasukan Diploma ke IPTA.. Dalam surat tawaran temuduga tersebut, memang SARAT dangan logo-logo universiti awam tempatan. Ibu-bapa atau pelajar diminta membawa RM150.00 untuk BAYARAN PROSES TEMUDUGA.. (Pelik sekali... hadir temuduga pun nak kena bayar !.. Memang kerja nak sapu diut orang)


Tetapi yang PALING PELIK dan menghairankan (atau yang menampakkan KEBODOHAN mereka), ialah meminta ibu-bapa atau pelajar membuat pengesahan untuk hadir ke temuduga tersebut dengan menghubungi orang tertentu yang HANYA menggunakan nombor telefon mudah alih! ..

Tetapi yang pandainya mereka ini ialah... mendapatkan senarai calon-calon /pelajar-pelajar SPM 2012 seluruh negara siap dengan no K/P, alamat pelajar. Dari mana mereka dapat sumber ini..? Jika bukan dari maklumat orang dalam yang bekerja di kementerian atau jabatan yang berkaitan..

BERIKUT INI.. ADALAH BEBERAPA KES PENIPUAN IPTS YANG TELAH TERSIAR DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA


RUNGUTAN ibu bapa terhadap kolej swasta yang menipu memang benar. Siasatan Jabatan Pendidikan Swasta (JPS), Kementerian Pendidikan, mendapati ada kolej menyiarkan iklan palsu di media tempatan.

Ada juga kolej swasta melengkapkan kemudahan di kolej ketika lawatan menteri atau pegawai jabatan tetapi mengambil semula kemudahan itu apabila lawatan selesai.

Kes itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pendaftar, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kementerian Pendidikan, Sri Nusa Ahmad Thaharuddin, pada majlis perasmian Seminar Peranan IPTS Dalam Mewujudkan Malaysia Sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor baru-baru ini.


KES SATU
Sebuah kolej swasta menyiarkan iklan di media tempatan mengenai kepakaran tenaga pengajar di kolej itu. Iklan itu menyebut bahawa beberapa tenaga pengajar di kolej berkenaan berkelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD).Tetapi apabila JPS membuat pemeriksaan, didapati kolej itu tidak mempunyai tenaga pengajar berkelulusan PhD.

KES DUA
Sebuah kolej swasta melengkapkan pelbagai kemudahan seperti komputer, kerusi, meja dan lain-lain apabila diberitahu menteri dan pegawai tinggi kementerian akan datang melawat kolej itu.
Kolej terlibat menyewa pelbagai peralatan dan apabila lawatan selesai, peralatan itu dipulangkan kepada tuan punya peralatan.

KES TIGA
Beberapa kolej swasta mendakwa mempunyai tenaga pengajar berkelayakan dan berjawatan profesor. Apabila disiasat, didapati tenaga pengajar terlibat tidak lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah beliau gagal menunjukkan surat perlantikan sebagai profesor kepada pegawai penyiasat.

SEHUBUNGAN dengan masalah-masalah ini, JPS telahpun mengeluarkan berpuluh-puluh surat tunjuk sebab dan surat amaran kepada pengusaha kolej swasta. Langkah menghantar surat amaran itu terpaksa dilakukan apabila siasatan pegawai dari jabatan itu mendapati sesetengah pengusaha kolej bertindak melampau sehingga sanggup melakukan penipuan dalam usaha mereka menarik ramai pelajar.

Timbalan Ketua Pendaftar, IPTS, Kementerian Pendidikan, Sri Nusa Ahmad Thaharuddin berkata, kes di atas adalah sebahagian daripada puluhan kes pengusaha kolej swasta menipu dalam usaha menarik ramai pelajar.

"Tiada apa hendak disembunyikan. Ia benar-benar berlaku,'' katanya pada majlis berkenaan.

Majlis seminar anjuran Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) itu dihadiri oleh kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pengetua sekolah dan guru kaunseling.

Mengulas lanjut kes itu, Sri Nusa berkata, ada kolej swasta menyiarkan iklan di akhbar mengenai pelajar boleh mendapat ijazah selepas tiga tahun mengikuti kursus pengajian di kolej berkenaan.

"JPS terpaksa memanggil pengusaha terlibat bagi mendapatkan penjelasan mengenai iklan berkenaan. "Selepas diberi amaran keras barulah kolej itu menghentikan program ijazah yang ditawarkan,'' katanya.

Sri Nusa menegaskan, mengikut Akta IPTS dan Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996, kolej swasta hanya boleh mengendalikan kursus pengajian di peringkat sijil dan diploma.

Katanya, kolej swasta hanya boleh mengendalikan kursus pengajian di peringkat ijazah menerusi program kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau luar negara.

"Ini bermakna kolej swasta tidak boleh bersendirian mengendalikan kursus pengajian di peringkat ijazah,'' katanya.

Selain itu, ada kes kolej swasta menyiarkan iklan di akhbar mengenai kerjasama akademik kolej itu dengan beberapa universiti luar negara. Menurutnya, apabila disiasat, pihak jabatan mendapati kolej terlibat hanya mengadakan kerjasama dengan sebuah universiti luar negara. Malah kata Sri Nusa, ada kolej yang dahulunya pernah mengadakan kerjasama dengan universiti luar negara masih menyiarkan iklan mengenai kerjasama itu, sedangkan kerjasama itu sudah lama tiada.

"Dulu memang ada kerjasama tetapi sekarang dah cerai talak tiga. Kolej itu menipu pelajar kerana menyiarkan iklan mengatakan ia bekerjasama dengan universiti berkenaan,'' katanya.

Berikutan itu beliau meminta ibu bapa dan guru membantu jabatan menangani masalah penipuan di kalangan IPTS dengan menyiasat sendiri kemudahan peralatan, prasarana, kursus pengajian, kelayakan tenaga pengajar dan lain-lain di kolej swasta.

Katanya, jumlah IPTS sehingga 500 buah menyebabkan kakitangan jabatan tidak mampu membuat pemeriksaan terhadap semua institusi berkenaan.



"Saya berharap ibu bapa yang akan menghantar anak mereka belajar di kolej swasta membuat sedikit penyiasatan untuk mendapatkan maklumat sebenar kolej berkenaan.
"Jika pihak kolej enggan memberi kerjasama, mereka boleh membuat aduan kepada jabatan,'' kata Sri Nusa.

Selain itu, katanya, sukar bagi jabatan menyiasat keseluruhan kursus pengajian yang ditawarkan memandangkan sebuah kolej swasta mengendalikan purata 20 kursus pengajian.
"Ini bermakna sebanyak 10,000 kursus pengajian perlu dinilai oleh LAN dan sudah tentu tugas itu tidak sepenuhnya dapat dilakukan.

"Sebab itulah saya meminta ibu bapa menyiasat, sekali gus mengumpul maklumat mengenai kolej swasta pilihan anak masing-masing,'' katanya.

Menurutnya, guru kaunseling juga perlu menyiasat kerana maklumat itu penting untuk disampaikan kepada para pelajar yang bakal menjadi sasaran IPTS.

Malah katanya, penyiasatan itu untuk kepentingan dan manfaat bersama iaitu ibu bapa tidak akan kerugian jika kolej swasta pilihan anak mereka jujur dan diiktiraf kementerian.

"Jabatan pula akan mendapat manfaat apabila kes-kes kolej swasta menipu dapat diselesaikan dengan cepat,'' katanya. - OLEH ROHANA MAN
Sumber: Utusan Online

1 comment

Anonymous said...

Mmg byk surat2 tawaran IPTS anak sy terima.Rasanya diorg dpt kt Sek.Tapi kenapa pihak sekolah sgp beri maklumat peribadi ni ye?