Terkini


Kajian Novel Merenang Gelora - Plot Dan Tema

Kajian Novel Merenang Gelora (K2) - Bahasa Melayu Tingkatan 3 - PMR. Berikut ini adalah contoh Tema dan Plot untuk novel Merenang Gelora.




PLOT NOVEL MERENANG GELORA

Permulaan

Pengarang memperkenalkan watak utama, Badri yang baru menyandang jawatan pengawas sekolah. Pada bahagian ini juga diperkenalkan watak Badrul iaitu adik kepada Badri yang cuba mengusik abangnya tentang jawatan pengawas yang baru disandang abangnya. Badri merasakan tanggungjawab menjadi pengawas sekolah merupakan tanggungjawab yang berat yang harus digalasnya.

Perkembangan
  1. Pada bahagian ini diperkenalkan watak Jamil yang merupakan rakan baik Badri tetapi mereka berbeza dari segi prinsip hidup.
  2. Kehadiran seorang pelajar baru Siti Cahaya Nadira menjadi satu pertelagahan antara Badri dan Jamil tetapi berakhir dengan perdamaian.
  3. Peristiwa Badri disiram air ketika berada di dalam tandas tidak melemahkan semangatnya untuk berusaha mencari pelakunya dan akhirnya pelajar yang terbabit dapat ditangkap dan diserahkan kepada guru disiplin.
  4. Siew Mei menceritakan aktiviti haram Meng Kong menjual telefon bimbit dan kad prabayar kepada pelajar sekolah. Jamil turut terlibat dalam aktiviti tersebut.
  5. Hubungan Badri dengan Jamil semakin renggang kerana Jamil merahsiakan perkara tersebut daripada Badri.
  6. Shahrul dan rakan-rakan lumba haram telah diserbu oleh polis ketika Shahrul keluar dengan Nadira.
  7. Idham, abang kepada Jamil diberhentikan kerja oleh Encik Tan kerana Meng Kong menuduh Idham mencuri telefon bimbit di kedai bapanya.
  8. Masalah kecurian telefon bimbit telah dapat dikesan melalui CCTV yang dipasang di kedai dan di stor milik Encik Tan.
  9. Jamil menghilangkan diri tanpa dapat dijejaki oleh Badri kerana keluarga Jamil merahsiakan keberadaan Jamil.
Klimaks
  1. Encik Tan, bapa Meng Kong berjumpa pengetua untuk menyelesaikan masalah telefon bimbit yang telah dirampas oleh pihak sekolah. Beliau juga memohon agar anaknya ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya berdisiplin dan memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
  2. Encik Tan meminta maaf kerana anaknya telah menyusahkan murid-murid dan guru-guru di sekolah tersebut. Encik Tan juga meminta anaknya, Meng Kong agar memohon maaf kepada pengetua astas kesalahan yang dilakukan.
  3. Meng kong, Shahrul dan Kumar dipanggil ke bilik pengetua dan dikenakan hukuman 3 rotan setiap seorang.
  4. Kumar ditangkap oleh Badri dan Taufik ketika cuba memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg Meng Kong tujuannya supaya Meng Kong dibuang dari asrama.
  5. Peristiwa mengejutkan apabila cikgu Jailani menemui telefon bimbit di dalam beg Badri.
Peleraian
  1. Meng Kong berjaya ditempatkan di asrama dan telah berubah sikap begitu juga dengan Kumar yang telah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya.
  2. Badri, Siew Mei, Taufik, Nadira dan Kumar telah menduduki peperiksaan SPM manakala Sahrul mengambil peperiksaan di hospital akibat kemalangan.
  3. Badri dan Siew Mei mendapat 9A manakala Taufik memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM.
  4. Badri melanjutkan pelajaran di Ireland dalam bidang perubatan dan menjadi doktor yang akan bekerja di Hospital besar Kuala Lumpur.
  5. Jamil melanjutkan pelajaran dalam bidang hotel dan pelancongan dan berjaya membuka resort di terengganu manakala Shahru dan Kumar melanjutkan pelajaran di politeknik mengambil kursus kemahiran memperbaiki kereta sehingga berjaya membuka bengkel kereta.
  6. Shahrul telah berkahwin dengan Nadira. Nadira membuka sebuah butik dengan kelulusan diploma fesyen di UITM yang dimilikinya.
  7. Siew Mei berjaya menjadi seorang doktor gigi.
  8. Badri dan rakan-rakannya berjaya merenang gelora dalam kehidupan mereka.
Teknik Plot
  1. Pemerian - Badri tidak mengendahkan usikan adiknya. Dia menyuap nasi lemak dan mengunyahnya perlahan-lahan.
  2. Dialog - ” Kalau Badrul buat salah, abang jangan tangkap”, usik Badrul lagi.
  3. Imbas kembali - Jamil menjelaskan kehilangannya dari sekolah kerana berpindah ke Sarawak ketika bertemu semula dengan Badri di resort Jamil.
  4. Imbas Muka - Kumar mengandaikan sekiranya Meng Kong mengambil telefon bimbit dari kotak baharu ayahnya pasti akan mengesyaki sesuatu.
  5. Saspens - Kehilangan Jamil di sekolah tidak dapat dijejaki oleh Badri.
  6. Kejutan - Shahrul dan rakan-rakannya terkejut apabila Badri tiba-tiba muncul di pondok tempat mereka berbincang tentang jualan telefon bimbit.
  7. Monolog dalaman Shahrul mengucapkan terima kasih kepada Badrul dalam hatinya
TEMA NOVEL MERENANG GELORA

Novel ini bertemakan ketabahan seorang pelajar dalam menghadapi cabaran hidup. Tema ini diserlahkan melalui watak utama, Badri yang menempuh pelbagai cabaran sepanjang menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah yang belum pernah disandang sejak zaman persekolahannya.

Persoalan
  1. Persoalan ibu bapa yang mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat gejala sosial. Contohnya, Shahrul yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya terlibat masalah disiplin sekolah dan bercampur dengan kumpulan motor.
  2. Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Contohnya, Encik Tan memohon kepada pihak pengetua supaya Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan.
  3. Persoalan hasad dengki dalam persahabatan. Persoalan ini digambarkan melalui watak Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama.
  4. Persoalan melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas. Contoh, Badri sebagai seorang pengawas terus merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dengan kes disiplin seperti Jamil.
  5. Persoalan semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah. Contoh Siew Mei memberikan maklumat tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit secara ansurans kepada pelajar.
  6. Persoalan sikap gigih golongan pelajar untuk mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan. Contoh Badri, Siew Mei dan taufik mengadakan kumpulan belajar dan akhirnya berjaya dengan mendapat 9A dan 7A dalam SPM.
  7. Persoalan buruk sangka dalam masyarakat pelajar. Contoh, Shahrul, Kumar, Jamil dan Meng Kong bersangka buruk terhadap Badri sehingga menyimbah air ketika Badri berada di dalam tandas sekolah.
  8. Persoalan gejala lumba haram dalam kalangan remaja. Contoh, Shahrul terlibat perlubaan haram sehingga hampir ditangkap oleh pihak polis.
  9. Persoalan berdikari untuk mendapatkan pengalaman bekerja. Contoh Badri dan Taufik bekerja sambilan di resort bapa saudara Badri sementara menunggu keputusan SPM.
Semoga artikel ini bermenafaat untuk adik-adik.. InsyaAllah  artikel akan menyusul Novel Merenang Gelora - Persoalan dan Contoh.

BACA JUGA:
1:Kajian Novel Merenang Gelora - Latar Masa, Tempat Dan Masyarakat
2:Kajian Novel Merenang Gelora - Plot Dan Tema
3:Kajian Novel Merenang Gelora - Watak Dan Perwatakan
4:Kajian Novel Merenang Gelora - Nilai Murni Dan Pengajaran
5:Kajian Novel Merenang Gelora - Tema Dan Persoalan


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

1 comment:

  1. terima kasih...sgt mmbntu..sng hati saya nk siapkan krja sekolah...terima kasih skali lg..!

    ReplyDelete