Terkini


Surah As Sajadah Dan Solat Subuh Hari Jumaat

Surah As Sajadah Dan Solat Subuh Hari Jumaat
Surah al-Sajdah Dan Solat Subuh Hari Jumaat - Beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

Kebiasaannya ketika melaksanakan solat subuh berjamaah pada pagi Jumaat, imam membaca surah al-Sajdah (surah ke-32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah ke-76) pada rakaat kedua. Alhamdulillah amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu‘ah, Bab apa yang dibaca dalam solat subuh pada hari Jumaat, hadis no: 891.

Dalam risalah yang serba ringkas ini, saya tidak berhajat untuk mengubah kebiasaan di atas kerana ia sememangnya sudah menepati sunnah Rasulullah yang mulia. Akan tetapi saya ingin memperincikan beberapa perkara yang dirasakan perlu agar sunnah tersebut dapat kita ikuti dan amalkan dengan lebih tepat. Perkara-perkara yang ingin saya perincikan adalah berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan.

Pertama: Hukum membaca surah al-Sajdah adalah sunat.
Berdasarkan hadis di atas, sunat hukumnya membaca surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat subuh pada pagi Jumaat. Ini adalah juga merupakan pendapat Mazhab al-Syafi’e sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi:
Dalam hadis di atas terkandung dalil bagi mazhab kami dan mazhab yang sependapat dengan kami bahawa sunat (membaca surah al-Sajdah dan surah al-Insan) pada solat Subuh hari Jumaat’. [Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswanah; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn), jld. 4, ms. 188-189).

Saya yakin para pembaca mengetahui berkenaan hukum sunat ini. Akan tetapi dalam pengalaman saya dan rakan-rakan, adakalanya ditemui:
  1. Para makmum yang menangguhkan iqamat solat Subuh pada pagi Jumaat kerana imam yang hafal surah al-Sajdah belum datang. Jika tiada yang hafal, makmum saling menolak antara satu sama lain untuk menjadi imam. Masing-masing enggan dengan alasan: “Saya tak hafal surah al-Sajdah.”
  2. Pernah beberapa kali imam yang sedang membaca surah al-Sajdah tersangkut di tengah-tengah atau penghujung dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya (termasuk diri saya). Maka imam mengulangi semula surah al-Sajdah dari awal sekali lagi.
  3. Bagi masjid-masjid yang mempunyai imam yang dilantik secara rasmi, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang dipercayai bahawa antara soalan yang ditanya ketika temuduga sebelum perlantikan adalah hafal atau tidak surah al-Sajdah. Ia menjadi salah satu syarat lulus temuduga.
Tiga pengalaman di atas memberi isyarat bahawa di sebalik kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat, ada sebahagian orang yang menganggap hukumnya wajib. Atas anggap wajib inilah mereka enggan menjadi imam, atau salah satu syarat perlantikan imam untuk mengulang-ulang keseluruhan surah jika tersangkut.

Padahal yang benar hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Oleh itu jika tidak ada yang menghafal surah al-Sajdah, seseorang boleh menjadi imam dengan membaca surah lain. Jika tersangkut ketika membaca surah al-Sajdah dan makmum tiada yang dapat membetulkannya, imam boleh terus rukuk atau beralih membaca surah yang lain. Menghafal surah al-Sajdah sepatutnya menjadi satu kelebihan dalam temuduga dan bukannya syarat lulus temuduga.

Selain dari itu, syarat-syarat menjadi imam pula, sama ada imam rasmi atau tidak, bukanlah kerana menghafal surah al-Sajdah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ

سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ

سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ

سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا وَلاَ يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ

وَلاَ يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلاَّ بِإِذْنِهِ.

(Paling layak) menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qur’an di antara mereka.
Jika mereka dalam bacaan berada pada tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang paling mengetahui tentang sunnah (hukum-hukum fiqh) di antara mereka.
Jika mereka dalam (pengetahuan) sunnah berada pada tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang paling awal berhijrah di antara mereka.
Jika mereka dalam penghijrahan berada pada tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang paling awal memeluk Islam di antara mereka.
Janganlah seseorang menjadi imam terhadap orang lain di tempat kekuasaannya
dan janganlah seseorang duduk di tempat kehormatan orang lain kecuali seizinnya.
[Shahih Muslim, Kitab al-Masajid, Bab orang yang paling berhak menjadi imam, hadis no: 673]

Kedua: Sekali-sekala dianjurkan membaca surah selain al-Sajdah.

Kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat akan menyebabkan orang ramai menganggap ia adalah wajib. Faktor ini antara sebab mengapa para tokoh Mazhab Maliki berpendapat makruh membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat kerana bimbang orang ramai akan menganggapnya wajib. Terhadap faktor ini, Imam Ibn Daqiq al-‘Id mengulas:
Akan tetapi jika melakukan hal tersebut (membaca surah al-Sajdah) menyebabkan timbulnya kerosakan (menganggapnya wajib), maka eloklah ia ditinggalkan sekali-sekala kerana sesuatu yang disukai adakalanya ditinggalkan juga bagi menghindari kerosakan yang mungkin berlaku. Dan ia (usaha menghindari kerosakan yang mungkin berlaku) dicapai dengan meninggalkan (membaca surah al-Sajdah) pada sebahagian waktu.[Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 35.

Nampaknya apa yang dibimbangi oleh para tokoh Mazhab Maliki telah benar-benar berlaku. Maka saranan Imam Ibn Daqiq al-‘Id perlu kita ikuti, iaitu dianjurkan sekali-sekala agar imam membaca surah selain al-Sajdah pada solat Subuh pagi Jumaat.

Ketiga: Imam hendaklah memerhatikan keadaan makmum.
Dalam mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah kita mengamalkan keseluruhan sunnah tersebut, bukan sebahagian-sebahagian sahaja. Membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat adalah sunnah, namun memerhatikan keadaan makmum adalah sunnah juga. Dalam Shahih Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis no: 468, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


أُمَّ قَوْمَكَ فَمَنْ أَمَّ قَوْمًا فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْكَبِيرَ

وَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَإِنَّ فِيهِمْ ذَا الْحَاجَةِ

وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ.

Imamilah kaum kamu, sesiapa yang mengimami satu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang tua,
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang sakit,
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang lemah
dan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang yang berurusan.
Apabila salah seorang dari kalian solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya.

Pada pagi Jumaat, imam perlu memerhatikan dua sunnah. Sunnah yang pertama adalah membaca surah al-Sajdah manakala sunnah yang kedua adalah memerhatikan waktu iqamat dilaungkan. Ini kerana di kalangan makmum ada yang memiliki urusan di awal pagi untuk ke pejabat.

Sama-sama diketahui sini bahawa waktu masuknya Subuh adakalanya awal dan adakalanya lewat. Khususnya pada bulan Januari dan Febuari, di Kuala Lumpur waktu Subuh masuk pada pukul 6.10 pagi dan iqamat lazimnya dilaungkan pada pukul 6.20 pagi. Kebanyakan warga kota keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi untuk mengharungi kesesakan jalan raya ke pejabat. Maka merupakan satu kebiasaan pada pagi Jumaat, sebahagian jamaah tidak menghadiri solat Subuh berjamaah kerana kesuntukan waktu. Sebahagian lagi ada yang hadir siap dengan pakaian pejabat, bergegas keluar sebaik sahaja imam memberi salam yang kedua.

Oleh itu sebelum memulakan solat, imam hendaklah memerhatikan waktunya. Jika masih awal, maka adalah sunnah untuk membaca surah al-Sajdah. Jika waktu sudah lewat, maka adalah sunnah untuk membaca surah lain yang pendek.

Dalam hal ini mungkin ada yang berpendapat, imam sepatutnya tetap membaca surah al-Sajdah. Terpulang kepada makmum sama ada untuk menghadirinya atau tidak, atau mengubah suai masa sendiri ke pejabat. Pendapat ini tidak tepat kerana sebagaimana hadis yang dikemukakan di atas, merupakan kewajipan imam untuk memerhatikan keadaan makmum dan bukan sebaliknya. Jika imam menyusahkan makmum, maka kesalahan berada pada bahu imam dan bukannya makmum.

Abu Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh berkata, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabishallallahu 'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:


أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ

 فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah.
Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan.
[Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai, hadis no: 90]


Keempat: Sujud tilawah hukumnya sunat.
Saya pernah menjadi makmum ketika imam membaca surah al-Sajdah pada pagi Jumaat. Imam yang sedang membaca surah al-Sajdah terlanjur melepasi ayat ke-15 yang sepatutnya dia dan makmum turun sujud. Maka beliau mengulangi semula dari awal keseluruhan surah al-Sajdah agar dapat sujud ketika sampai pada ayat yang disunatkan untuk sujud.
Solat Subuh Berjamaah

Perbuatannya itu memberi gambaran seolah-olah melakukan sujud tilawah hukumnya adalah wajib. Yang benar hukumnya adalah sunat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah ketika sedang solat berdasarkan hadis berikut:


عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ فَقَرَأَ إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ فَسَجَدَ.

 فَقُلْتُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِي الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ فِيهَا حَتَّى أَلْقَاهُ.

Daripada Abi Rafi’, dia berkata: Aku solat Isya’ bersama Abu Hurairah (radhiallahu 'anh)
dan beliau membaca surah Izas sama’un syaqqat (surah al-Insyiqaq, surah ke-84) lalu sujud.
Maka aku bertanya: “Apa ini?” (Abu Hurairah) menjawab: “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim (gelaran bagi Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam dan aku akan sentiasa sujud pada ayat tersebut sehingga aku bertemu dengannya.

Hadis di atas dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah dalam solat lalu sujud padanya, hadis no: 1078. Berdasarkan nama bab yang diberi oleh Imam al-Bukhari, maka beliau sendiri memandang sunat untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat bagi orang yang membaca ayat sajadah.

Berdasarkan hadis di atas, jumhur ilmuan berpendapat sunat melakukan sujud tilawah ketika melakukan apa-apa solat yang dibaca ayat sajadah di dalamnya. Mereka tidak membataskan hukum sunat ini kepada surah al-Insyiqaq yang dibaca dalam solat Isya’ sahaja.

Walaubagaimana pun ditekankan bahawa hukum melakukan sujud tilawah adalah sunat dan bukannya wajib. Ini kerana terdapat hadis yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatradhiallahu 'anhum tidak melakukan sujud tilawah, seperti hadis berikut yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah tetapi tidak sujud, hadis no: 1073, dimana Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anh berkata:

قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا.

Aku membaca di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam surah al-Najm namun baginda tidak sujud padanya.

Para ilmuan menerangkan beberapa sebab mengapa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melakukan sujud tilawah. Di antara sebab-sebab tersebut, Imam al-Syafi’e dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menguatkan pendapat bahawa baginda sengaja tidak sujud tilawah untuk menunjukkan kepada umat bahawa hukumnya bukan wajib tetapi sunat. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 260]

Pada waktu yang sama, ingin ditambah bahawa terdapat segelintir ilmuan yang berpendapat makruh untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat. Mereka tidak menjadikan hadis Shahih al-Bukhari no: 1078 sebagai dalil kerana apabila Abu Hurairah menerangkan Aku sujud di belakang Abu al-Qasim…, beliau tidak menerangkan bahawa ia berlaku di dalam solat. Alasan ini dibantah oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani kerana dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Jauzaqiy terdapat tambahan lafaz bahawa peristiwa tersebut berlaku di dalam solat. [Fath al-Bari, jld, 2, ms. 497]

Selanjutnya pihak yang memandang sujud tilawah dalam solat adalah makruh menekankan bahawa tidak ada riwayat sahih yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah apabila sampai pada ayat ke-15 ketika membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Secara kebetulan hujah ini selari dengan keterangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang pernah berkata:
Saya belum menemui apa-apa riwayat dengan jalan yang kuat lagi jelas bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sujud (tilawah) ketika membaca surah Tanzilus sajadah.

Seterusnya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengemukakan dua riwayat yang beliau ketahui dalam bab ini akan tetapi dalam sanad kedua-duanya terdapat perbincangan sehingga beliau sendiri tidak menjadikannya sebagai hujah. [Fath al-Bari, jld. 3, ms. 35]

Kesimpulan perbahasan kita dalam bab ini dapat diringkaskan sebagai berikut:
  • Apabila imam terlupa untuk melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, dia tidak perlu mengulangi keseluruhan surah demi mendapatkan sujud tilawah. Ini kerana hukum sujud tilawah, mengikut jumhur ilmuan, adalah sunat dan bukan wajib.
  • Apabila makmum mendapati imam tidak melakukan sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, maka tidak perlu membetulkannya. Ini kerana tindakan imam terbuka kepada beberapa kemungkinan seperti lupa, atau sengaja ingin menunjukkan kepada makmum bahawa hukum sujud tilawah bukan wajib, atau berpegang kepada pandangan yang memakruhkan sujud tilawah di dalam solat.
Demikian empat perkara yang ingin saya perincikan berkenaan amalan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Semoga perincian ini bermanfaat untuk semua.

Tiada Hakcipta. Boleh Salin - Letakkan Sumber Pautan | waazin.blogspot.com | Sejak Nov - 2012

No comments