Fadilat Ramadhan Dan Hikmah Berpuasa Ramadhan

PUASA di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Fadilat Ramadhan Dan Hikmah Berpuasa Ramadhan

Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Brhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”. - (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadhan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yangdilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.

Syaitan diikat
Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadan.

Selamat berpuasa

Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawaRasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara keistimewaan puasa juga, Allah akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”Allah berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat.

Rasulullah bersabda yang ertinya:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka. Diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga selama-lamanya.”

Antara bekalan yang boleh diperoleh dari ibadat puasa:

Sifat ikhlas
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya.

Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya dan kerana mengharapkan pahala dan reda Allah, dia tidak melakukannya.


Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.

Mujadalah dan kekentalan jiwa
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadhan.

Fadilat Ramadhan Dan Hikmah Berpuasa

Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.

Sabar
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.

Memelihara fizikal
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Prihatin dan belas kasihan
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut.

Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

Membuka hijab antara diri dengan Allah
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.

Mengenali erti kejayaan sebenar
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.

Rasa belas dan lemah lembut
Rasulullah S.A.W mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata “Aku berpuasa!.” Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.

Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.

Memperkukuhkan kesatuan ummah
Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan bulan Ramadhan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan,warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.

Merapatkan hubungan dengan alam
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya.

Menjaga masa
Puasa mengajar seorang Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadhan, seorang Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.

Kesihatan tubuh badan
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden atau tradisi.

*** Artikel ini dipetik dari buku Panduan Puasa Ramadhan susunan Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia disiarkan dalam versi digital menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


2 comments:

  1. setiap y Allah perintahkan pasti ada hikmahNYA.. =) Salam Ramadhan ^^

    ReplyDelete