Terkini

Wanita Hamil 7 Bulan Dirogol Lima Lelaki Ketika Keluar Beli Makanan

Di Bachok Kelantan, seorang wanita hamil tujuh bulan mendakwa menjadi mangsa rogol lima lelaki ketika keluar bersama rakannya untuk membeli makanan di Tangok, malam Isnin lalu.


Wanita Hamil Tujuh Bulan Dirogol Lima Lelaki Ketika Keluar Beli Makanan
Wanita hamil tujuh bulan dirogol lima lelaki ketika keluar membeli makanan, - Gambar sekadar hiasan
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa, seorang suri rumah berusia 21 tahun keluar dari rumahnya di Kampung Kuchelong, kira- kira jam 10.30 malam untuk ke rumah rakannya di Tangok.

Setengah jam kemudian katanya, mangsa mengajak adik kawannya ke kedai untuk membeli makanan.

“Tiba di tengah jalan, teman lelaki adik rakannya menghalang perjalanan mereka dan mengarahkan mereka menurutinya ke sebuah wakaf di tengah sawah di Kampung Kuau.

“Adik rakannya dan teman lelakinya meninggalkan mangsa di wakaf itu bersama dua lelaki lain. Salah seorang lelaki tersebut memarahi mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya agar menjemputnya. Lelaki itu kemudiannya menghubungi tiga lagi rakannya yang menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, semua lelaki terbabit bergilir merogol mangsa dan mangsa hanya dihantar berdekatan rumah rakannya kira-kira jam 4.30 pagi.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tawang pada 1 April.

"Difahamkan, mangsa berkahwin dengan seorang pemandu lori yang kini berada di Kuala Lumpur. Mereka mempunyai seorang anak berusia 5 tahun," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan semua suspek giat dijalankan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak polis berjaya mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diculik di Tangok pada 28 Mac lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 2 petang 28 Mac lalu. Mangsa diheret masuk ke dalam kereta oleh suspek yang tidak dikenali.

Bapa saudara mangsa yang berusia 33 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Kota Bharu pada jam 4.30 pagi, 2 Mac.

Suspek didakwa meminta tebusan daripada keluarga mangsa di Bangladesh sebanyak RM15,000.

Hasil maklumat, polis berjaya menemui semula mangsa di Machang dan menahan 10 suspek terlibat.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan Tangok, Berkelam. Semua suspek dibawa ke IPD Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - Bernama (Gambar sekadar hiasan)


No comments