Header Ads

  • Terkini

    Lima keluarga penumpang MH370 fail saman terhadap MAB dan DCA

    Lima sekeluarga memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB), DCA dan tiga lagi pihak bagi menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang merupakan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas.


    Lima keluarga penumpang MH370 fail saman terhadap MAB dan DCA
    Lima keluarga penumpang MH370 fail saman terhadap MAB dan DCA
    Keluarga itu menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.

    Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 15, dan Tan Wei Jie, 13, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 84, dan Lai Chew Lai, 82, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 75, yang merupakan warga Taiwan.

    Mereka memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ngeow & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 28 Ogos lalu. Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini.


    Keluarga itu selaku plaintif menamakan MAB, Ketua Pengarah DCA, Malaysia Airlines System Berhad (MAS), panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dankerajaan Malaysia sebagai defendan.

    Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif mendakwa MAS memungkiri kontrak apabila gagal memastikan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik dan sempurna hingga menyebabkan penumpang dan pesawat MH370 gagal dikesan.

    Mereka mendakwa akibat kecuaian defendan, kedua-dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu secara tiba-tiba serta kehilangan abang sulung mereka dan kejadian itu menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kehilangan termasuk sokongan kewangan dan kasih sayang.

    Selain itu, mereka mendakwa, semasa kehilangan perhubungan, DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam masa yang munasabah untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat itu.

    Plaintif juga mendakwa, kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika Panglima TUDM memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian itu berlaku.

    Keluarga itu mendakwa kerajaan Malaysia gagal dalam tanggungjawabnya untuk menguruskan kehilangan pesawat itu secara berhati-hati dan telus.

    Mereka menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif, ganti rugi am, ganti rugi kehilangan sokongan, ganti rugi teruk dan eladan, kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama


    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad