Salahkan media alternatif, Penganjur nafi Perhimpunan Baju Merah esok

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos menzahirkan kekesalannya berhubung laporan media berkenaan himpunan di Jalan Petaling di Kuala Lumpur esok bagi membantah jualan barangan tiruan di kawasan perniagaan didominasi kaum Cina itu.


Datuk Jamal Md Yunos
Saya sedikit kecewa dengan laporan-laporan dan kenyataan yang dikeluarkan media, terutama media alternatif berkenaan kenyataan saya ketika sidang media di IPD Ampang Jaya pada 23 September yang lepas, kata Datuk Jamal
Menurut Jamal, beliau tidak berniat mengancam peniaga atau orang ramai di situ, sebaliknya beliau hanya menyatakan kerisauan tentang ketiadaan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di kawasan itu.


"Saya ingin menjelaskan kenyataan saya tersebut bukanlah dengan niat memberi ancaman atau ketakutan kepada orang awam seperti dilaporkan dan disensasikan media, terutama media alternatif.

Baca: Mungkin berlaku rusuhan di Jalan Petaling Sabtu ini - Datuk Jamal Yunos

"Saya hanya ingin menyatakan kegusaran saya sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil pihak berkuasa terutama KPDNKK ke atas aduan dan ketidakpuasan hati kumpulan yang berhimpun di Petaling Street pada 16 September yang lepas," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jamal, sidang media yang diadakannya selepas membuat laporan polis itu bertujuan menjelaskan fitnah-fitnah yang dilempar kepada dirinya menerusi media sosial.

Namun sebaliknya Jamal berkata, media hanya menyiarkan sebahagian daripada kenyataannya pada hari itu.

"Saya sedikit kecewa dengan laporan-laporan dan kenyataan yang dikeluarkan media, terutama media alternatif berkenaan kenyataan saya ketika sidang media di IPD Ampang Jaya pada 23 September yang lepas.

"Tujuan sidang media tersebut adalah memberi penjelasan dan penafian tentang fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas diri saya serta untuk memberitahu kepada umum saya akan mengambil tegas termasuk tindakan undang-undang ke atas pemfitnah-pemfitnah ini melalui peguam-peguam saya.

"Kenyataan-kenyataan yang dilaporkan dan disensasikan media ini tidak menggambarkan secara tepat apa yang saya jelaskan berkenaan kemungkinan berlaku himpunan pada Sabtu 26 September 2015.

"Mereka hanya menyiarkan bahagian tertentu tanpa mengambil kira secara keseluruhan apa yang saya nyatakan dalam sidang media tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan pembaca dan boleh disalah tafsir umum," katanya.

Jamal kini mendakwa beliau tidak terlibat langsung dengan himpunan esok.

Dua hari lalu, Jamal sekali lagi berikrar akan turun ke kawasan perniagaan Jalan Petaling yang didominasi peniaga Cina, sekiranya KPDNKK tidak bertindak terhadap perniagaan di situ yang didakwa menjual barangan tiruan.

Menurutnya, beliau sudah bertemu ketua pengarah bahagian penguatkuasaan KPDNKK berkenaan perkara itu dan memberi mereka tempoh sehingga Jumaat ini bagi turun padang dan menjenguk perniagaan di situ.

"Kalau mereka tidak ambil tindakan sehingga Jumaat ini, kalau berlaku apa-apa kekecohan di sana, saya tidak akan bertanggungjawab.

"Mereka yang datang hari itu kata (akan ada) dalam 5,000 orang.

"Saya harap persatuan peniaga dan peniaga-peniaga Petaling Street beri kerjasama sepenuhnya.

"Kita tidak mahu, insiden 916 (himpunan baju merah 16 September) lepas berulang sekali lagi," katanya. – TheMalaysianInsider 25 September, 2015.


No comments