Terkini

Tiada Jemaah Haji Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina

MAKKAH: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina semasa jemaah haji melakukan ibadah melontar Jamrah hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


mangsa rempuhan di Mina
Tiada Jemaah Haji Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata kawasan kejadian rempuhan berkenaan tidak melibatkan laluan jemaah Malaysia untuk melakukan ibadah melontar itu.

Baca: Insiden rempuhan Mina: 717 jemaah haji terkorban, 805 cedera (2 Video)

"Jadual melontar bagi jemaah haji Malaysia ditetapkan selepas 5.30 petang dan 8 malam ini," katanya dalam satu sidang media di sini hari Khamis.


Beliau berkata jarak tempat kejadian rempuhan itu dengan kawasan perkhemahan jemaah Malaysia adalah kira-kira tiga hingga empat kilometer.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, setakat ini seramai 717 jemaah maut dan 863 lagi cedera dalam insiden di kawasan perkhemahan negara-negara Arab di Mina, katanya.

Sehubungan itu, lapan pos kawalan jemaah haji sedia ada yang dilaksanakan Tabung Haji di Mina akan dipertingkatkan lagi tahap pemantauan dan kawalan ke atas jemaah haji negara ini.

"Tabung Haji bagaimanapun masih membuat semakan berterusan di perkhemahan jemaah haji Malaysia," katanya.

Insiden rempuhan itu merupakan kali kedua berlaku sejak 2006, yang menyaksikan 346 jemaah haji terkorban ketika menunaikan ibadah melontar.

Lebih tiga juta jemaah dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah haji.

Bagaimanapun, majoriti jemaah haji termasuk jemaah Malaysia masih berada di Mina untuk mengerjakan ibadah melontar selepas bermabit iaitu berada seketika atau bermalam di Muzdalifah malam tadi.

Mereka yang tiba secara berperingkat ke Mina dari Muzdalifah itu memulakan ibadah melontar bermula di Jamrah Kubra pada Khamis selepas terbit fajar subuh. - AwaniNews


No comments