2 Kanak-kanak Orang Asli SK Tohoi yang hilang di hutan selamat ditemui

Dua kanak-kanak perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas dan ditemui selamat tengah hari tadi, dijumpai di bawah akar pokok besar yang bergayutan di tebing Sungai Perias di Gua Musang.


2 Kanak-kanak Orang Asli SK Tohoi yang hilang di hutan selamat ditemui
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata 2 mangsa yang masih hidup itu, Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari, bersama satu mayat perempuan.

Baca: Misteri!.. kehilangan 7 murid Orang Asli SK Tohoi masih belum ditemui


"Mayat yang ditemui pula dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh ahli keluarganya petang ini di Hospital Gua Musang. Mangsa meninggal dunia kira-kira 4 hari lepas," katanya pada sidang media di Hospital Gua Musang, hari ini.

Ika Ayel
Mayat Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh ahli keluarganya

Mazlan berkata Miksudiar dan Norieen ditemui dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan hasil temu bual awal dengan kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan.


Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas hilang 48 hari, adalah antara 7 murid Orang Asli iaitu 6 perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi.

Mereka dipercayai melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.



Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui 1 mayat kanak-kanak perempuan yang reput di sungai itu. Kanak-kanak perempuan itu dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Semalam, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.


Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha mencari baki murid-murid yang masih hilang.

Setakat ini, 3 murid yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.

Mazlan berkata lokasi penemuan 5 mangsa setakat hari ini masih dalam kawasan pencarian pasukan SAR dan murid-murid itu berkemungkinan menyembunyikan diri ketika pasukan SAR melaksanakan operasi.


"Difahamkan mangsa yang masih hidup bertindak membuang mayat rakan-rakan mereka ke dalam sungai selepas mereka meninggal dunia, bagaimanapun kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai hilang.

"Tiga mayat yang ditemui sebelum ini masih belum dituntut oleh ahli keluarga kerana laporan DNA belum dikeluarkan," katanya.

Ditanya mengenai penemuan rangka kanak-kanak pada petang semalam, Mazlan berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat pasukan patologi dari Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Terdahulu, suasana sayu dan pilu menyelubungi Pusat Operasi SAR SK Tohoi ketika kedua-dua mangsa dibawa ke pusat berkenaan untuk menerima rawatan awal kira-kira 1 tengah hari tadi.

Mereka yang dibawa keluar menggunakan pacuan 4 roda kemudian dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Gua Musang ketika tiba di SK Kuala Betis sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.

Suasana di perkarangan Unit Kecemasan Hospital Gua Musang sedikit kelam kabut dengan tangisan Rozita Behel, 41, dan ahli keluarga terdekatnya ketika menatap wajah anaknya, Miksudiar buat pertama kali selepas hilang selama 48 hari dalam hutan.

Hanya jeritan "saya sayang anak saya, saya sayang anak saya, saya sayang anak saya" kedengaran daripada mulutnya sambil disulami tangisan kegembiraan.


Sementara itu, suasana sedih menyelubungi bilik mayat Hospital Gua Musang apabila Ayel Ajib, 46, dan isterinya, Nora Tegeu, 39, keluar dari bilik berkenaan selepas membuat pengecaman ke atas mayat anaknya, Ika, kira-kira 5.30 petang.

Nora, dalam tangisannya hanya mampu menyebut nama Ika Ayel beberapa kali sambil ditenangkan suaminya serta petugas SAR yang fasih berbahasa Temiar.

Difahamkan, kedua-dua pasangan berkenaan mengecam mayat anaknya itu menerusi gelang tangan manik yang dibuat Nora dan dipakai Ika serta pakaian sukan yang dipakai mangsa. – Bernama, 9 Oktober, 2015

1 comment:

  1. Takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.. Semoga usaha mencari yang masih hilang berjalan lancar..

    ReplyDelete