“Abah, Mama Datanglah Ambil Kami, Apit Rindu Mama Dan Abah..”

KULIM - “Abah, mama datanglah ambil kami. Apit rindu mama dan abah, adik-adik pun selalu tanya abah pergi mana,”. Itulah rayuan seorang daripada tiga beradik yang ditinggalkan bapa mereka di rumah seorang kenalan di Jalan Panchor, dekat sini, sejak tiga bulan lalu.


Yusnizam (belakang, kanan), Mohamad Zarir (belakang, tengah) bersama tiga beradik yang ditinggalkan bapanya sejak tiga bulan lalu.
Ahmad Sharol Hafiz Abdul Rahman, 10, berkata, dia dan dua adiknya, Aisyah Qistina Hamzah, 8, dan Iera Syazira, 6, sangat merindui ayah dan ibu mereka.

Menurutnya, dia juga ingin ke sekolah semula seperti rakan-rakan seusia yang lain.

"Dulu saya sekolah dekat Langkawi. Tapi tak ingat sekolah apa sebab dah lama," katanya.

Tiga beradik berkenaan dipercayai beralamat terakhir di Kuala Kurau, Perak ditinggalkan bapa mereka kepada seorang kenalan.


Penjaga sementara, Yusnizam Nordin, 39, berkata, bapa tiga beradik dikenali sebagai Hamzah itu memohon pertolongan abangnya, Abd Rahman Hamid, 50, yang tinggal bersamanya untuk menempatkan sementara tiga beradik berkenaan.

Menurutnya, walaupun berat untuk membenarkannya namun, melihat keadaan anak bongsu daripada tiga beradik berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU), dia bersetuju berbuat demikian.

"Abang saya baru saja kenal Hamzah atau kami panggil Bob. Dia minta tumpangkan sekejap anak dia.

"Katanya dia ada masalah kewangan tak mampu nak cari rumah. Pada mulanya saya enggan, sebab tak kenal sangat tapi bersimpati dengan anak bongsunya itu. Jadi saya bersetuju sementara dia cari duit dan rumah lain," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini, semalam.

Yusnizam berkata, Hamzah sempat tinggal bersamanya selama dua minggu sebelum terus menghilangkan diri sehingga kini.

"Mereka datang 24 Julai lalu, raya puasa kelapan. Datang naik teksi dan bawa beg pakaian bersama," katanya.

Katanya, dia juga sempat mendapatkan sedikit maklumat daripada Hamzah mengenai latar belakang keluarga dan tempat tinggal mereka.

"Hamzah beritahu yang mereka sudah tiga hari tidur di bawah jambatan dekat Butterworth, Pulau Pinang selepas tak mampu bayar sewa hotel bajet.

"Sejak dia hilangkan diri, saya cuba cari dokumen anak-anak dia tapi tak ada. Jadi saya buat laporan ke JKM awal bulan ini untuk cari semula keluarga kandung mereka," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai JKM, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, tiga beradik berkenaan akan dijaga sementara oleh Yusnizam sehingga 19 November ini.

"Sekiranya waris masih gagal dikesan, JKM akan pertimbangkan untuk mencari keluarga angkat atau ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak JKM,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat keluarga tiga kanak-kanak ini diminta menghubungi Pelindung JKM, Regina Shaari di talian 04-4907403. Sumber: Sinar Harian


No comments