Terkini


Ada Kes Lain: Suspek belasah gadis Kelantan dilanjutkan tahanan reman

Kota Bharu – Rakaman video wanita memukul wanita di Kelantan yang tersebar baru-baru ini membongkar satu lagi rahsia suspek utama dalam kejadian berkenaan, apabila dia direman selama empat hari lagi mulai hari ini berhubung kes menceroboh premis untuk mengakibatkan kecederaan yang dilaporkan kepada polis, November tahun lalu.


Ada Kes Lain: Suspek belasah gadis Kelantan dilanjutkan tahanan reman
Perintah tahanan reman itu berakhir Khamis ini dan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Amni Mat Jahari di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Wanita berusia 27 tahun itu sebelum ini direman selama enam hari sejak ditahan pada 19 Oktober lalu berhubung kes pergaduhan ‘viral’ berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Untuk kes itu dia disiasat bersama dua lagi wanita berusia 20-an yang dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.


Tahanan reman terbaru itu bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 452/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh premis untuk mengakibatkan kecederaan.

Difahamkan, ia berhubung laporan polis dibuat ibu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang mendakwa suspek sebagai seorang daripada tujuh individu yang memukul anaknya hingga mengakibatkan kecederaan teruk pada muka dan patah kaki kiri.

Mangsa ketika itu menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum didatangi suspek bersama tiga lelaki dan tiga lagi perempuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Kita perlu menahan remannya lagi untuk siasatan terhadap kes pada 2014 membabitkan mangsa remaja perempuan.

“Mangsa baru-baru ini menghubungi polis selepas mengecam suspek menerusi rakaman video yang tersebar dalam Facebook,” katanya, lapor Harian Metro.


No comments