Azmin cadang gunakan hasil GST bayar pampasan syarikat konsesi

Menteri besar Selangor hari ini mencadangkan supaya Putrajaya menggunakan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang terkumpul sebanyak lebih RM6 bilion untuk membiayai dan meneruskan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol.


Mohamed Azmin Ali
Azmin cadang gunakan hasil GST bayar pampasan syarikat konsesi
Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan demikian dibuat semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini yang membincangkan mengenai kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya seluruh negara.

"Kita dimaklumkan perolehan daripada kutipan GST tu besar. Lebih daripada RM6 bilion seperti diumumkan. Mengapa tidak menggunakan perolehan GST ini untuk meringankan bebanan rakyat?


"Tetapi (Putrajaya) menggunakan kesempatan seperti ini untuk terus menekan kehidupan rakyat khususnya pengguna lebuh raya.

"Kita ada mencadangkan dalam MTES yang kerajaan persekutuan sepatutnya menggunakan perolehan daripada hasil kutipan GST untuk membiayai dan meneruskan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan negeri Selangor masih belum mencapai kata putus berhubung isu kenaikan kadar bagi Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Namun, beliau pada mesyuarat MTES hari ini mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) menulis surat kepada Kesas Holdings Sdn Bhd dan juga Sprint Sdn Bhd, mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dipanggil bagi membincangkan perkara ini.

"Kerajaan negeri mengarahkan kedua-dua anak syarikat ini membantah dan menolak kenaikan kadar tol tersebut walaupun kita adalah pemegang saham minoriti dan tidak mempunyai kata pemutus.

"Tetapi mereka perlu mewakili pendirian kerajaan negeri yang tidak membenarkan sebarang kenaikan kadar tol pada saat ini," kata Azmin.

Kenaikan kadar tol di kedua-dua tol di Lebuhraya SPRINT dan LDP mula berkuatkuasa hari ini, di mana tol LDP bagi Kelas 1 akan naik sebanyak 50 sen kepada RM2.10 dan kenaikan RM1 bagi tol SPRINT.

"Kita dimaklumkan, sehingga hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah yang dipanggil Kesas Holdings Sdn Bhd dan juga Sprint Sdn Bhd untuk mengambil keputusan terhadap perkara ini.

"Ianya merupakan hanya makluman sahaja dan tidak dibawa dalam mesyuarat lembaga pengarah," katanya.

Kerajaan negeri memiliki 30% daripada Lebuhraya Kesas melalui PKNS dan 20% dalam Lebuhraya SPRINT dan LDP melalui KPS. – 15 Oktober, 2015.


No comments