Bersih Bentang Lebihan RM1.9 juta Daripada RM2.6 juta Sumbangan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini membentangkan penyata pendapatan mereka, berhubung sumbangan RM2.6 juta yang diraih mereka sempena himpunan Bersih 4.


Bersih 2.0 menunjukkan senarai penderma kepada perhimpunan Bersih 4 di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 6 Oktober, 2015.
Menurut Bersih 2.0, akaun mereka mencatatkan lebihan RM1.9 juta susulan belanja sebanyak RM 664,052 bagi menganjurkan himpunan selama 34 jam itu.

Mereka turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterimanya dari "dermawan" Timur Tengah.


Menurut mereka, kira-kira 27,000 penderma menyumbang kepada Bersih 2.0 dan penyata bank dengan setebal 2,126 halaman dihantar kepada juruaudit bagi semakan.

"Perisytiharan kami hari ini disemak pegawai kewangan kami," kata Bendahari Bersih 2.0 Masjaliza Hamzah pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Pengisytiharan hari ini dibuat sebulan selepas himpunan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos dan ia dibuat bagi memenuhi janji Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang berikrar membentangkannya sebelum ini.

Menurut Bersih, penderma secara purata menyumbang sebanyak RM76 seorang, walaupun majoriti menyumbang antara RM10 sehingga RM50.

Lebihan daripada jumlah yang berjaya diraih akan diguna bagi membiayai program akan datang.

"Ia termasuklah program pendidikan pengundi, kos kes-kes mahkamah, latihan dan lain-lain lagi," kata Masjaliza.

Menurutnya, reputasi Najib akan "lenyap" jika beliau gagal mengisytiharkan perincian “derma” yang diperolehnya.

Najib dan beberapa pemimpin BN sebelum ini mencabar Bersih mengisytiharkan akaun mereka.

Himpunan Bersih 4 menelan belanja RM300,000 sementara RM340,000 dibelanjakan untuk perbelanjaan pra himpunan termasuklah cetakan baju-T. – TheMalaysianInsider 6 Oktober, 2015.


No comments