Dakwaan Pesawat di Tawi-tawi mungkin kapal terbang AS yang hilang

PULAU SUGBAY – Dakwaan penemuan bangkai pesawat oleh seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dipercayai sebagai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkemungkinan merupakan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang 53 tahun lalu.


Gambar pesawat yang serupa dengan pesawat Flying Tiger Lane yang hilang (Wikipedia)
Portal Daily Mail melaporkan, seorang penduduk bernama Siti Kayyam mendakwa, anak saudara lelakinya menjumpai bangkai pesawat yang penuh dengan rangka manusia dan mayat yang sudah mereput di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi pada awal September lalu.

Siti Kayyam memberitahu, anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu terjumpa bangkai pesawat ketika memburu burung di hutan tersebut dan mendakwa telah menyentuh topi juruterbang pesawat, sehingga daging pada rahangnya jatuh.

Namun, pihak berkuasa Filipina yang membuat rondaan di kawasan tersebut tidak menjumpai bangkai pesawat atau serpihan seperti didakwa Siti Kayyam.


Pakar menyifatkan, bangkai pesawat tersebut kemungkinan adalah penerbangan sewa khas tentera AS membawa 107 penumpang yang hilang pada tahun 1962.

Blog penerbangan, Plane Talking membuat spekulasi bahawa, dakwaan penemuan bangkai pesawat di kawasan yang agak jauh dan terpencil itu dipercayai pesawat Flying Tiger Line yang hilang di barat Pasifik pada 16 Mac 1962.

Sebelum kehilangan MH370, pesawat Flying Tiger merekodkan jumlah terbesar kehilangan penumpang pesawat yang tidak berjaya dijumpai sehingga kini.

Pihak berkuasa Filipina mengesahkan MH370 tidak terhempas di Pulau Sugbay dan nasib pesawat Boeing 777 itu masih lagi menjadi misteri.

Mereka juga telah menemuramah penduduk tempatan dan penduduk di kawasan itu mengakui tidak melihat apa-apa.

Gabenor Tawi-Tawi, Nurbert Sahali juga mengeluarkan kenyataan menyatakan tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di kawasan itu.


No comments