Impian Lolanopita Sadi, Ibu Muhammad Firdaus Tidak Kesampaian

Seremban – Ibu kepada remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan terabai pada tahun lalu, sudah tentu mengimpikan untuk meluangkan masa yang lebih berkualiti dengan anaknya itu selepas dibebaskan dari penjara.


Impian Lolanopita Sadi, ibu Muhammad Firdaus tidak kesampaian
Impian Lolanopita Sadi, ibu Muhammad Firdaus tidak kesampaian
Namun, kini, impian Lolanopita Sadi, 41, tidak kesampaian.

Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia akibat diserang sawan ketika makan tengah hari di Rumah Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah dekat sini pada Rabu.

Baca: Al-Fatihah: Remaja OKU, Muhammad Firdaus Disahkan Meninggal Dunia


Ibu remaja terbabit dihukum penjara empat bulan dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan kerana mengabaikan anaknya itu.


Kisah Muhammad Firdaus terbongkar selepas pegawai Imigresen melakukan serbuan di kawasan tersebut untuk mengesan pendatang asing tanpa izin di sebuah kawasan perumahan di Taman Semarak, Nilai pada Jun tahun lalu.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) apabila Lolanopita menangis tanpa henti.

Wartawan yang cuba mendekati beliau ditolak secara baik kerana beliau cuba ditenangkan dalam pelukan salah seorang saudaranya.

Pengarah HTJ, Dr Ariffin Mohamad berkata, mereka menerima satu panggilan kecemasa kira-kira pukul 12.22 tengah hari.

“Ambulans segera dihantar ke sana,” katanya.

Dr Ariffin berkata seorang kakitangan perubatan cuba memulihkan Muhammad Firdaus sehingga dia tiba di hospital pada pukul 12.57 tengah hari.

“Namun, dia disahkan meninggal dunia kira-kira 1.15 petang,” katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi menyerahkan kepada pihaknya untuk menguruskan pengebumian anaknya.

“Kami akan menguruskan jenazah dan pengebumiannya selepas bedah siasat dilakukan dan tempat pengebumian masih dalam perbincangan lagi,” katanya.

Beliau berkata, ketika rondaan dilakukan oleh pengetua Rumah Sinar Harapan, Muhammad Firdaus dalam keadaan sihat.

“Ketika sedang makan tengah hari bersama-sama rakan-rakanya, arwah diserang sawan dan pihak kami terus memanggil ambulans.

“Mengikut rekod, Muhammad Firdaus dimasukkan ke Rumah Sinar Harapan pada 21 Ogos tahun lepas dan berat terkini arwah ialah 27 kilogram,” katanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar berkata, kos pengurusan pengebumian Muhammad Firdaus akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah dan terima kasih kepada pihak Rumah Sinar Harapan yang menjaganya dengan baik selama ini dan kita sememangnya terasa kehilangan adik istimewa ini,” katanya, lapor mStar Online.


No comments