Inilah wajah 3 suspek penculik di Kajang, minta tebusan RM300,000

Tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di Kajang terhadap pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang menjadi viral di laman sosial Jumaat lepas, bagi mendapatkan tebusan RM300,000.


Tiga suspek penculik kanak-kanak di Kajang
Tiga lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Kajang terhadap pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun, hari ini
Siow Kek Keong, 44, yang menjalankan perniagaan percetakan, Riduansyah Yahya, 32, buruh warga Indonesia dan Mohd Saifulamry Jarkasi, 28, pemandu lori, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dengan niat bersama menahan dan mengurung secara tidak sah kanak-kanak itu yang merupakan anak seorang kontraktor untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000 di tepi Jalan Seroja bersebelahan rumah No. 4, Taman Setia, Sungai Chua, di Kajang, pada 9.26 pagi, 9 Oktober lepas.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia dan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami manakala peguam Fadzly Yaakob mewakili Mohd Saifulamry, peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Siow dan Riduansyah tidak diwakili peguam.

Bapa dan ahli keluarga mangsa turut hadir di mahkamah.

Tiga suspek penculik kanak-kanak di Kajang, ditangkap Polis
Tiga suspek penculik kanak-kanak di Kajang, ditangkap Polis
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian Jumaat lepas, sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 73 saat menunjukkan seorang kanak-kanak diculik 2 lelaki berkereta Proton Saga di hadapan sebuah tadika di Sungai Chua pada 9.26 pagi.

Kanak-kanak lelaki itu kemudiannya dibebaskan dan dihantar pulang oleh pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi, 42, kepada keluarga mangsa di Taman Suria, Sungai Chua, setelah wang tebusan RM300,000 dibayar bapa mangsa.

Bagimanapun, Hanizan yang sebelum ini turut ditahan reman, dibebaskan semalam dengan bon polis mengikut Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.

Di lobi mahkamah, bapa kepada kanak-kanak lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada Hanizan sambil memeluk erat pemandu teksi itu. Bapa mangsa bagaimanapun enggan ditemu bual media.

Sementara itu, Hanizan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang melayannya dengan baik sepanjang beliau ditahan reman.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis yang melayan saya dengan baik. Saya juga tidak menyesal menolong masyarakat dan tidak akan serik berbuat demikian tidak kira apa jua bangsa," katanya ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah.

Sebelum itu di lobi mahkamah berlaku sedikit ketegangan apabila seorang ahli keluarga Hanizan meminta penjelasan daripada bapa mangsa berhubung tindakan Hanizan menyelamatkan anaknya.

"Abang saya selamatkan anak kamu, apa dia dapat," kata lelaki itu, tetapi dia kemudiannya ditenteramkan oleh beberapa ahli keluarga yang lain. – Bernama, 16 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/3-lelaki-culik-kanak-kanak-5-tahun-minta-tebusan-rm300000-didakwa#sthash.lAkh5wDw.dpuf



No comments