Terkini

“Kain Harga RM4 Pun Saya Pakai, Janji Cantik” – Ziana Zain

DIVA popular, Ziana Zain menjelaskan beliau terbuka untuk mengayakan rekaan daripada mana-mana pereka fesyen namun mestilah bersesuaian dengan imejnya dan hasil rekaan tersebut cantik.


Ziana Zain
Kain harga RM4 pun saya pakai janji cantik – Ziana Zain
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain ketika ditemui pada majlis pelancaran Zayyen Ziana Zain By Zatu Emerald di ibu negara, semalam, mendedahkan beliau banyak menerima permintaan daripada pereka fesyen yang inginkan beliau mengayakan rekaan masing-masing.

Bagaimanapun ada yang beranggapan citarasa fesyen pelantun lagu Syurga Dihati Kita ini hanya memilih mengayakan hasil rekaan Rizman Ruzaini memandangkan kerjasama antara Ziana dan duo pereka fesyen sudah sinonim sejak beberapa tahun lalu.


“Sebenarnya saya dapat panggilan telefon daripada pereka fesyen lain yang bertanyakan mahukah saya memakai rekaan mereka? Allhamdulillah, di usia 47 tahun, rezeki saya masih murah dan sentiasa ada permintaan.

“Tapi ada juga pereka fesyen yang takut untuk beritahu hasrat mereka kerana beranggapan saya hanya pakai rekaan Rizman Ruzaini saja. Saya tidak pernah terikat dengan Rizman Ruzaini. Saya seorang yang sukakan fesyen, saya akan pakai apa saja rekaan yang cantik-cantik. Saya tak kisah, saya tak cerewet. Sekalipun kain atau fabrik tersebut semurah RM4, kalau rekaannya cantik, saya akan pakai.

“Ramai anak-anak muda lepasan kolej dan UiTM yang mana mereka ada hasil rekaan tetapi tidak tahu hendak berikan pada siapa untuk mengayakannya. Bagi saya, saya lebih suka kalau kerjasama itu ada win-win situation. Saya dapat manfaatnya begitu juga dengan pihak lain,” tuturnya sekaligus mengulas mengenai anggapan sesetengah pihak yang beranggapan beliau hanya menggayakan rekaan Rizman Ruzaini.

Tambah Ziana, beliau juga sebenarnya sudah memikirkan mahu mengikut jejak beberapa rakan artis lain yang mana tampil dengan koleksi jenama sendiri. Namun ia masih dalam perancangan untuk melaksanakan impian tersebut.


Tidak mahu dikata sekadar melepas batuk ditangga, justeru buat masa ini Ziana mengambil pendekatan belajar sedikit demi sedikit mengenai ilmu tentang dunia rekaan fesyen. Sebagai permulaan, beliau bekerjasama dengan jenama busana yang semakin dikenali ramai, Zatu Emerlad dengan menghasilkan 12 rekaan koleksi busana.

Ziana Zain bersama pemilik Zatu Emerald, Datuk Nurol Huda Ma'son dan barisan model yang menggayakan koleksi Zayyen Ziana Zain By Zatu Emerald.Ziana Zain bersama pemilik Zatu Emerald, Datuk Nurol Huda Ma’son dan barisan model yang menggayakan koleksi Zayyen Ziana Zain By Zatu Emerald.

Bercerita anjut mengenai koleksi tersebut, Zayyen Ziana Zain By Zatu Emerald menawarkan sebanyak 12 koleksi pilihan busana untuk semua golongan dan peringkat umur serta menawarkan harga yang berpatutan dan fabrik yang ringan.

“Zayyen adalah kolaborasi rekaan idea saya dan rekaan Zatu Emerald. Sesuai digayakan oleh semua orang tak kira lah sama ada yang berhijab atau tidak, harga berpatutan juga ada saiz S hingga XL. Bagaimana mahu mengayakannya, terpulang pada cara masing-masing. Dan peminat boleh mendapatkannya menerusi online atau terus di butik Zatu Emerlad.



“Sepanjang menghasilkan rekaan ini, saya belajar banyak ilmu baru tentang fabrik. Ini juga sebagai permulaan dan proses pembelajaran saya sebelum melaksanakan perancangan saya mahu melancarkan jenama sendiri, kelak.

“Bukan senang sebenarnya untuk tampil dengan jenama sendiri sebab saya tak mahu sekadar buat saja. Selain ia memerlukan modal yang besar, perlu ada ilmu yang luas dalam dunia rekaan fesyen dan ada branding. Barulah orang nampak kesungguhan kita mahu memasarkan produk kita,” katanya.

Perkembangan lain, selain dalam proses mencari single baharu, Ziana bakal terlibat dengan program baharu terbitan Astro berjudul, Seiras Seirama. Program tersebut merupakan pertandingan meniru gaya dan nyanyian Ziana Zain.
– mD



No comments