Kereta hilang kawalan & terbabas, pemandu maut di Lebuh raya Guthrie

Shah Alam – Seorang lelaki maut apabila kereta Proton Satria yang dipandunya telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain dalam satu kejadian di kilometer 5.5 Lebuh Raya Guthrie di sini hari ini.


Kereta hilang kawalan
Kereta hilang kawalan & terbabas, pemandu maut di Lebuh raya Guthrie
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi, mangsa, Ahmad Zamril Zahrin, 24, dari Subang Bestari disahkan meninggal di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Difahamkan beliau memandu kereta terbabit secara sendirian dari arah Subang menuju ke Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku apabila kereta mangsa telah terbabas ke bahagian kiri jalan raya sebelum melanggar tiga buah kenderaan lain iaitu sebuah kereta, lori dan bas.


“Kereta mangsa telah terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di kiri bahu jalan dan akibat rempuhan itu kereta mangsa kemudiannya telah berpusing lalu kembali ke lorong tengah lebuh raya terbabit sebeum melanggar sebuah lori.

“Akibat merempuh lori terbabit, kereta mangsa terpelanting semula ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebuah bas rosak yang diletakkan di bahu kiri lebuh raya tersebut. Akibat beberapa rempuhan itu, mangsa disahkan meninggal ditempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Shafien lagi, mayat mangsa telah dikeluarkan oleh sepasukan enam anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik yang terlibat dalam operasi terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk tindakan lanjut,” ujarnya, lapor Kosmo.


No comments