Kerjasama Rusia Kenal Pasti Dalang Penembak #MH17 Amat Penting

Pasukan penyiasat diketuai Belanda kini berdepan tugas sukar untuk mencari dalang sebenar yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 selepas punca nahas itu didedahkan meskipun timbul keraguan sama ada pesalah akan ditangkap atau sebaliknya.


MH17 shot-down
Kerjasama Rusia Kenal Pasti Dalang Penembak MH17 Amat Penting
Menurut penganalisis, kerjasama Rusia dalam siasatan bagi mengenalpasti dalang nahas itu amat penting dan usaha tersebut bagaimanapun dilihat agak mustahil.

“Sekiranya Rusia bekerjasama dalam kes jenayah, ini juga bermakna dakwaan pembabitan mereka konflik di Ukraine akan menjadi tumpuan di mahkamah.


“Moscow tidak akan menerima ini,’’ kata penyelidik hubungan antarabangsa di Institut Clingendael di The Hague, Tony van der Togt.

Meskipun Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam laporan rasminya kelmarin mendedahkan MH17 ditembak pelancar peluru berpandu BUK pada 17 Julai tahun lalu, pihak berkenaan tidak menyatakan pihak bertanggungjawab terhadap kematian 298 penumpang pesawat malang tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi DSB, Tjibbe Joustra mencadangkan bahawa peluru berpandu BUK itu dilancarkan dari kawasan yang dikuasai pemberontak Ukraine yang pro-Rusia.

Kenyataan Joustra disokong oleh teori Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) bahawa pemberontak pro-Rusia adalah dalang yang mengakibatkan jet Boeing 777 dalam perjalanan antara Amsterdam dan Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine.

missile BUK
Gambar missile BUK seperti ini, dilaporkan telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17

Moscow dan pengeluar BUK dengan tegas menafikan laporan itu dengan Kremlin sebaliknya menuding jari kepada tentera Ukraine sebagai dalang nahas berkenaan.

Sementara itu, Belanda, negara asal bagi kebanyakan penumpang yang terkorban meminta pihak berkuasa meningkatkan usaha menangkap dalang yang menembak pesawat malang tersebut.

“Apa yang tinggal kini adalah pesalah!’’, demikian tajuk berita muka hadapan beberapa akhbar Belanda dengan media tempatan mengaku bahawa siasatan jenayah akan menjadi sukar terutamanya jika Rusia enggan bekerjasama.-16/10/2015


No comments