Kes Culik Warga Emas: Polis Giat Kesan Suspek Beserta Kereta Waja

Kuala Lumpur – Polis sedang giat memburu suspek yang dipercayai terlibat kes culik seorang warga emas di Jalan Api-api Kepong Baru, Kepong di sini, 6 Okt lepas.


Kes culik warga emas: Polis giat kesan suspek, kereta waja
Kes culik warga emas: Polis giat kesan suspek, kereta waja
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan petunjuk baharu, polis kini sedang mengesan sebuah kereta Proton Waja perang yang mempunyai kesan kemek di bahagian hadapan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Saya telah mengarahkan anggota melakukan pemeriksaan dan menahan mana-mana kereta Waja perang yang mempunyai kesan kerosakan di hadapan kenderaan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Suai Kenal dan Dialog Bersama Ketua Polis Sentul di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 16 pelajar kurang berkemampuan dari 5 sekolah di daerah Sentul.


Pada 6 Okt lepas, seorang warga emas diculik sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang ketika sedang berkebun di hadapan rumahnya di Jalan Api-api Kepong Baru, Kepong di sini.

Bagaimanapun, mangsa yang juga pesara kerajaan berumur 60 tahun itu dilepaskan kira-kira tujuh minit kemudian, apabila suspek menyedari mereka tersilap menculik orang selepas menerima panggilan telefon.

Isnin lalu, polis telah mengedarkan lakaran wajah seorang lelaki India berusia lingkungan 30-an dan mempunyai ketinggian antara 150 dan 160 sentimeter dipercayai suspek kes berkenaan.

Munusamy berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung dengan Gerakan IPD Sentul di talian 03-40400782, lapor Bernama.


No comments