Terkini

Laporan Teknikal Tragedi MH17 Boleh Bantu Dakwa Dalang Kejadian

Laporan teknikal tragedi MH17 yang diterbitkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) baru-baru ini, merupakan satu langkah ke hadapan dalam membantu siasatan jenayah oleh pasukan penyiasatan bersama (JIT) bagi mengesan dan mendakwa dalang kejadian itu.


Laporan Teknikal Tragedi MH17 Boleh Bantu Dakwa Dalang Kejadian
Laporan Teknikal Tragedi MH17 Boleh Bantu Dakwa Dalang Kejadian
Duta Ukraine di Malaysia, Ihor Humennyi berkata walaupun laporan itu tidak mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab seperti mana diharapkan orang ramai, laporan JIT 5 negara yang akan dikeluarkan tidak lama lagi akan menyelidiki aspek jenayah siasatan itu.

"Laporan teknikal DSB itu sangat penting bagi kita semua kerana ia membuka pintu bagi kerja-kerja selanjutnya dalam proses siasatan," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Walaupun ia tidak menyebut siapa yang bertanggungjawab dan menggunakan banyak terma teknikal, ini akan menyumbang kepada laporan jenayah yang akhirnya akan membawa kepada penutupan kes tersebut," kata duta itu.

JIT, terdiri daripada Belanda, Malaysia, Belgium, Ukraine dan Australia ditubuhkan bagi mewujudkan fakta-fakta, mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan mengumpul bukti, yang boleh digunakan di mahkamah, manakala pasukan penyiasat yang diketuai oleh DSB memfokuskan kepada aspek teknikal tragedi.

Pasukan DSB, yang juga terdiri daripada Malaysia, Ukraine, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Rusia tidak terlibat dengan soal menyalahkan pihak tertentu atau liabiliti kerana ia terletak di bawah siasatan jenayah, menurut laman web rasmi DSB.

Pada Selasa, DSB membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia ketika terbang pada ketinggian 33,000 kaki di kawasan bergolak timur Ukraine dan membunuh kesemua 298 penumpang pada 17 Julai tahun lepas.

Rusia mempertikaikan penemuan itu dan dalam sidang akhbar pada Khamis, Duta Rusia di Malaysia Valery N Yermolov berkata ia "tidak benar" memandangkan Rusia berhenti memiliki peluru berpandu pada 2011.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dengan laporan DSB itu, siasatan jenayah oleh JIT perlu menyediakan jawapan yang pasti bagi membolehkan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dengan laporan DSB itu juga, JIT akan dapat membuat beberapa kesimpulan daripada analisis teknikal mengenai siapa yang melepaskan peluru berpandu sehingga menembak jatuh MH17. – Bernama, 18 Oktober, 2015.


No comments