Terkini

Luluhnya hati ibu melihat jasad anak kaku terbaring berlumuran darah

Kinabatangan – Seorang lelaki ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tembakan di bahagian belakang rumahnya di Kampung Usaha Jaya, Batu 3, Jalan Pangkalan Bukit Garam di sini, kelmarin.


anak kaku terbaring berlumuran darah
Wanita itu terkejut apabila menemui anaknya terbaring menahan kesakitan selain melihat darah mengalir dipercayai akibat terkena tembakan.
Dalam kejadian jam 5.43 petang itu, mangsa Salfudin Saleh, 29, meninggal dunia akibat mengalami pendarahan yang banyak disebabkan tembakan itu.

Difahamkan, sebelum kejadian, ibu mangsa yang berada di hadapan rumah terdengar satu bunyi letupan dipercayai tembakan senjata api sebelum bergegas ke belakang rumah untuk memeriksa.

Wanita itu terkejut apabila menemui anaknya terbaring menahan kesakitan selain melihat darah mengalir dipercayai akibat terkena tembakan.


Apabila mendapati anaknya masih bernyawa, wanita itu kemudian menjerit meminta tolong sambil cuba menahan darah keluar dari luka di dada anaknya itu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan ibu mangsa, sebelum kejadian mangsa berada di belakang rumah lama mereka untuk berehat sebelum terkena tembakan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, rumah mangsa dikelilingi pokok kelapa sawit serta semak-samun,” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat kejadian itu termasuk memburu suspek yang melepaskan tembakan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, lapor Harian Metro.


No comments