MH17: Laporan Lembaga Keselamatan Belanda dan isu perundangan

Laporan Lembaga Keselamatan Belanda dengan jelas menyatakan ianya tiada kena mengena dengan siasatan jenayah yang sedang disiasat oleh pasukan lain.


MH17: Laporan Lembaga Keselamatan Belanda dan isu perundangan
Juga ianya sebagai tambahan kepada cadangan penubuhan tribunal antarabangsa baru antara negara selepas Russia menggunakan kuasa veto baru baru ini menentang cadangan tribunal asal di majlis keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu.

Penubuhan tribunal khas antarabangsa yang baru adalah plan B yang tidak di umumkan sebelum kuasa veto di gunakan Russia di Majlis Keselamatan yang menentang penubuhan tribunal sebagai tidak produktif yang menjadi plan A yang gagal.

Namun jika percubaan kedua ini juga di bawa ke Bangsa Bangsa Bersatu sekali lagi, apakah kali ini ianya akan berjaya? Atau ianya sekadar untuk terus membuang masa. Seterusnya untuk membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Malaysia dan Ukraine masih belum menerima pakai dan menandangani provisi provisi berkaitan di bawah Rome Statute.


Negara negara lain boleh memfailkan kes di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dengan syarat tiada perbicaraan yang adil dan bebas di mulakan oleh mana mana negara. Jika terdapat perbicaraan yang sengaja di pentaskan untuk mendapati pihak yang tidak bersalah sebagai bersalah maka ICC tetap boleh memulakan perbicaraan baru. Di ICC pelbagai isu teknikaliti dan prosedur perundangan juga menjadikannya satu perbicaraan yang bukan mudah.

Ianya bukan sekadar elemen pembuktian yang berat namun ICC tiada kuasa untuk memaksa tertuduh umpamanya untuk hadir di perbicaraan kecuali mengharapkan prosedur perundangan jenayah negara yang mengadu untuk membawa tertuduh ke ICC ataupun mengadakan perbicaraan in absentia di mana tertuduh tidak hadir.

Amatlah pelik sekali kenapa sehingga kini negara kita enggan atau masih belum memulakan tindakan jenayah dari dalam negara kita sendiri. Sistem perundangan kita cukup luas untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah antarabangsa sekalipun.

Negara kita mempunyai Akta Kesalahan Penerbangan 1984 (Aviation Offences Act 1984) yang memberi kuasa yang amat luas kepada Ketua Pengarah DCA untuk memulakan tindakan jenayah daripada siasatan hingga kepada membawa pulang mereka yang di syaki ke negara kita dengan di bantu oleh pelbagai Akta lain umpamanya Akta Kerjasama Perkara Jenayah (Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002) dan Akta Extradisi (Extradition Act 1992).

Malah Akta Kesalahan Penerbangan juga menyatakan pada negara negara yang kita tiada persetujuan Extradisi, ianya seolah olah kita ada persetujuan tersebut. Kita perlu ingat Akta Kesalahan Penerbangan 1984 bukan rekaan negara kita tetapi ianya rangkuman pelbagai Konvesyen Penerbangan Antarabangsa yang di jadikan Akta selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan tandatangan KBDYMM SPB YDP Agong.

Dengan kembalinya prosiding jenayah kepada negara kita sebagai sebuah negara yang berdaulat yang mana pesawat komersial milik negara kita yang membawa bendera kita, maka pendakwaan bukan sahaja boleh di lakukan di bawah Akta Kesalahan Penerbangan 1984 tetapi juga pelbagai provisi berkaitan di bawah Kanun Kesiksaan (Penal Code) contohnya kesalahan jenayah membunuh seksyen 300 Kanun Kesiksaan.

Prosedur prosedur Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code) boleh terpakai malah jika kita hendak abaikan Kanun Acara Jenayah dan menggunakan pelbagai prosedur yang lebih kejam di bawah Akta Keselamatan Langkah Langkah Khas (SOSMA 2012) ini lah masa yang sesuai untuk menggunakan SOSMA jika kita menggangap yang disyaki sebagai pengganas ataupun penjenayah yang mengancam keselamatan rakyat dan negara sebelum mendakwa menggunakan Akta Akta substantif yang lain seperti Akta Kesalahan Jenayah 1984 dan Kanun Kesiksaan.

Tiada sebab negara kita tidak boleh memulakan tindakan jenayah sendiri kerana negara kita mempunyai locus standi yang amat kuat kerana ianya pesawat milik negara kita yang telah di jelaskan hak menyiasat dan memulakan prosiding jenayah di bawah Akta Kesalahan Penerbangan 1984.

Kita boleh menjemput negara lain yang turut menjadi mangsa samada menjadi saksi ataupun membantu dalam penyiasatan kes ini namun pendakwaan di jalankan oleh Jabatan Peguam Negara dan di mulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas prosedur menahan remand an memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi di lakukan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Apakah Malaysia mempunyai masalah keyakinan untuk melakukannya sendiri atas dasar takda pengalaman? Kita tidak akan mempunyai pengalaman jika kita tidak memulakan. Majoriti pegawai pegawai DCA, PDRM, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah serta Hakim Hakim, pakar pakar forensic dsbnya mempunyai kelayakan dan mampu untuk berganding tenaga memulakan prosiding jenayah dalam negara kita sendiri.

Malah provisi perundangan kita iaitu Akta Keterangan 1950 mengizinkan kita memanggil saksi saksi pakar (expert evidence) contohnya pakar teknikal pesawat dari Boeing di Amerika untuk hadir di Mahkamah negara kita.

Pesawat kita, kedaulatan negara kita justru tiada kena mengena dengan jumlah penumpang negara kita yang berada dalam pesawat berkenaan yang lebih kecil daripada negara lain. Apakah jika bas transnasional milik kumpulan syarikat berkaitan MARA menjadi milik asing sebaik sahaja di naiki oleh majoriti penumpang negara asing? Tentu sekali tidak.

Laporan MH17 juga menyentuh dengan ruangan zon konflik namun pesawat di laporkan terbang mematuhi kadar aras ketinggian yang telah di tetapkan ICAO (International Civil Aviation Organization), sebuah badan ditubuhkan di bawah Bangsa Bangsa Bersatu untuk cuba memastikan keselamatan pengangkutan udara yang di anggotai 191 negara termasuk Malaysia.

Namun laporan berkenaan mendedahkan Ukraine sepatutnya menutup ruang udara mereka yang secara tidak langsung boleh membawa kepada pendakwaan kecuaian jenayah terhadap negara Ukraine dan juga saman kecuaian samada ratusan juta USD ataupun berbillion juta USD. Justru ianya amat pelik bila Ukraine turut berada dalam pasokan siasatan jenayah antarabangsa sekalipun tiada warga negaranya terlibat.

Ukraine cuma menggunakan alasan yang pesawat ditembak jatuh di negara mereka untuk berada dalam pasukan penyiasat. Namun Ukraine sebenarnya lebih sesuai sekadar menjadi saksi dan bukannya berada di dalam pasukan penyiasat memandangkan Ukraine juga berpontensi menjadi pihak yang di syaki atau berpontensi di tuduh bertanggung jawap menembak jatuh pesawat mh17 jika kita mengambil kira faktor pendirian Russia semasa menegaskan penyiasatan yang bebas dan adil amat penting bagi merungkai semua persoalan.

Seterusnya laporan MH17 yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda pada 13 Oktober 2015 juga mendedahkan kemungkinan punca tembakan berasal daripada senjata BUK buatan Russia sekalipun tidak menuduh siapa yang melakukannya.

Pihak syarikat BUK telah mengadakan sessi penerangan yang panjang beberapa jam sebelum laporan di keluarkan yang menafikan ianya berpunca daripada model lama BUK yang telah lama di hentikan pengeluarannya itu.

Penjelasan teknikal yang yang cukup terperinci mampu menimbulkan keraguan terhadap apa yang di perkatakan mengenai BUK di dalam laporan berkenaan. Justru disebabkan Ukraine yang secara langsung mempunyai kepentingan mereka sendiri berada dalam pasokan siasatan maka pasokan penyiasat dan pendakwaan yang bebas perlu di tubuhkan.

Ukraine patut menarik diri daripada menganggotai pasukan menyiasat sekalipun pesawat di tembak jatuh di negara mereka sebaik sahaja mendapati mereka mempunyai konflik kepentingan dan kemudiannya boleh menjadi saksi yang memberi keterangan kepada badan penyiasat atas apa saja isu yang mereka rasakan perlu.

Laporan Lembaga Keselamatan Belanda ini mencari jalan selamat dengan mengatakan mereka tidak akan mencampuri urusan siasatan jenayah yang sedang berjalan.

Apakah ini untuk mengelak mereka daripada menjawap persoalan media media Britain pada 9 Julai 2015 yang menyiarkan laporan panjang mengenai seorang pemberi maklumat telah di bayar 30 juta pound sterling oleh penyiasat German mengenai siapa bertanggung jawap menembak jatuh pesawat mh17.

Laporan ini juga mendedahkan beberapa mikrofon yang di pasang di kokpit berjaya merakamkan arah peluru berpandu tiba yang diperolehi daripada kotak hitam. Apa yang di musykilkan setelah negara kita secara besar besaran melaporkan kejayaan berunding dengan pengganas hingga memperolehi kotak hitam tetapi apakah keperluan menyerahkan pula kotak hitam berkenaan kepada Britain.

Apakah benar kita tidak mempunyai kepakaran untuk mengeluarkan data dan juga rakaman audio? Mengapa Indonesia boleh mengeluarkan maklumat awal daripada kotak hitam dalam masa 24 jam selepas ianya di jumpai di lautan di dalam insiden pesawat tambang murah Airaisa.

Seterusnya kembali kepada isu pampasan, berapa agaknya setiap waris penumpang patut dapat? Jawapannya sekitar USD175,000 sehingga USD183,00 yang mesti di bayar kepada waris penumpang dengan syarat pesawat tidak sampai ke destinasi dalam tempoh 2 hari daripada jadual asal.

Ini di nyatakan dengan jelas di bawah Montreal Convention yang di terima pakai negara kita iaitu tanpa mengira apa sebab yang berlaku pada pesawat asalkan pesawat tidak sampai ke destinasi 2 hari selepas berlepas.

Jika kita ingat wang insurans untuk insiden MH370 telah pun dibayar oleh syarikat insurans kepada satu akaun escrow hanya beberapa minggu selepas kejadian pesawat MH370 hilang sekalipun isu pembayaran penuh kepada waris penumpang masih lagi belum selesai sepenuhnya atas pelbagai sebab termasuk tindakan undang undang dsbnya. Malam dalam insiden Adam Air pampasan di bayar dalam masa beberapa minggu selepas insiden sekalipun mayat mayat belum di jumpai ketika pembayaran dibuat.

Namun untuk MH17, Akhbar Telegraph UK beberapa hari lepas melaporkan mengenai wang derma Petronas sebanyak RM10 juta yang telah di tawarkan sejak setahun lepas kepada waris penumpang.

Persoalannya jika di bahagikan wang derma ini setiap waris memperolehi cuma sekitar RM30,000 sahaja. Ini yang membuat sebuah firma guaman Australia membuat kenyataan supaya tiada waris yang patut menerima derma berkenaan di mana surat tawaran derma yang bertarikh 5 Oktober 2015 menyatakan ianya mesti diterima selewatnya pada 15 oktober 2015. Ini agak memalukan negara kita lantas MAS telah mengeluarkan kenyataan yang wang berkenaan tiada kena mengena dengan pampasan.

Persoalannya apakah status wang pampasan? Kenapa insiden MH370 boleh diumum wang telah dibayar ke dalam satu akaun escrow dan kenapa insiden MH17 tiada sebarang pengumuman atau laporan media antarabangsa mengenai wang pampasan.

Prosiding jenayah kemudian hari tiada kena mengena dengan wang pampasan kerana Montreal Convention telah menetapkan pembayaran perlu di buat dalam masa 6 bulan selepas pesawat tidak sampai ke destinasi. Manakala Akta Penerbangan Awam 1969 (Civil Aviation Act 1969) menetapkan tuntutan mesti di buat dalam masa 3 bulan.


Namun di peringkat antarabangsa ada provisi yang menetapkan tindakan mesti di buat dalam masa 2 tahun. Di negara kita dibawah Akta Hadmasa (Limitation Act 1963) tindakan sivil mesti di buat dalam masa 6 tahun manakala tempoh tindakan terhadap agensi kerajaan adalah lebih pendek daripada 6 tahun yang diperuntukan untuk tindakan sivil biasa.

Akhir sekali pembinaan semula (reconstruction) pesawat MH17 untuk mengesan punca kemusnahan pesawat bukanlah satu perkara asing ianya pernah di lakukan dalam beberapa insiden lain termasuk pesawat Pan Am dalam insiden Lockerbie. Namun keraguan masih berterusan tentang siapa bertanggung jawap, tentang ketelusan badan siasatan, tentang kebebasan badan siasatan dbnya.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka patut mengambil peluang untuk mengetuai siasatan bebas dan pendakwaan di Malaysia kerana ianya pesawat milik negara kita dan kita bukan sahaja menganggotai Bangsa Bangsa Bersatu malah kita kini menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu dan kita adalah negara anggota ICAO.

Mungkin mengetuai penyiasatan dan pendakwaan secara bebas dapat sedikit sebanyak memulihkan imej Malaysia di mata dunia yang sejak kebelakangan ini terpalit dengan isu isu negatif di peringkat antarabangsa. Bila kita berpeluang menjadi Imam kenapa kita memilih menjadi makmum ? Wallahualam.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
Peguambela & Peguamcara
Kuala Lumpur

No comments