Nasi Goreng Terbesar Dunia Gagal Raih Rekod Guinness Kerana Basi

Beijing: Usaha sebuah bandar di China memasuki Rekod Dunia Guinness dengan menghidangkan sajian nasi goreng terbesar di dunia menemui kegagalan apabila melanggar syarat ditetapkan dengan membazirkan 150 kilogram makanan itu.


Tukang masak mengacau nasi goreng sebelum dihidangkan
Guinness berkata di microblognya di China bahawa Yangzhou melanggar syarat ditetapkan supaya makanan itu boleh dimakan dan tidak dibazirkan. Sehubungan itu, rekod dimenangi ditarik balik.


Katanya, penganjur berjanji supaya empat tan metrik nasi goreng diedarkan ke lima tempat, sebaliknya sebahagian daripada jumlah itu ‘tidak dikendalikan dengan betul’ menyebabkannya basi.

Biro pelancongan Yangzhou dipetik media tempatan sebagai berkata, nasi berkenaan dihantar ke sebuah ladang dan diberi kepada babi untuk dimakan.

Nasi goreng Yangzhou terkenal di China dan seluruh dunia kerana menggunakan pelbagai bahan termasuk lobak merah dan kacang pea secara kreatif.

Media tempatan melaporkan, dalam acara Khamis minggu lalu itu 300 tukang masak yang menggoreng hidangan itu dalam kuali berasingan sebelum dimasukkan dalam mangkuk bersaiz gergasi untuk dipamerkan dan berjaya meraih anugerah terbabit.

Malangnya, gambar disiarkan di Internet beberapa hari kemudian menunjukkan nasi berkenaan yang sepatutnya itu diedarkan ke sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dibawa lori sampah, malah seorang jurucakap dilaporkan berkata: “Nasi ini tidak boleh dimakan manusia, tetapi boleh diberi kepada babi.”

Menurut laman web Guinness, rekod bagi nasi goreng masih dipegang Turkey Culinary Federation apabila menghidangkan 3,150 kilogram pada 27 September tahun lalu. – Agensi


No comments