Terkini


Penumpang Heli 2 Hari Terapung Dalam Keadaan Bogel Di Tasik Toba

Samosir, Indonesia - Seorang penumpang sebuah helikopter yang dilaporkan hilang pada Ahad lalu dijumpai selamat dan terapung dalam keadaan bogel di Tasik Toba semalam.


Fransiskus Subihardayan
Penumpang Heli 2 Hari Terapung Dalam Keadaan Bogel Di Tasik Toba
Lelaki yang dikenali sebagai, Fransiskus Subihardayan dijumpai dalam keadaan lemah dan hanya memakai jam tangan.

Fransiskus, 22, dan empat lagi penumpang menaiki helikopter yang hilang ketika dalam penerbangan dari pulau Somosir di Tasik Toba menuju ke Medan.

Helikopter jenis Eurocopter EC-130 itu dipercayai terhempas di tasik berkenaan selepas kerusi pesawat berkenaan dijumpai terapung di Tasik Toba lewat kelmarin.


Jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Hisar Turnip berkata, mangsa dijumpai tentera laut pada jam 1 petang (waktu tempatan) semalam.

“Mangsa tidak berenang, dia dijumpai terapung dan dalam keadaan bogel,” katanya.

Fransiskus Subihardayan
Fransiskus Subihardayan
Menurutnya, mangsa sempat memberitahu penyelamat dia ialah penumpang helikopter malang berkenaan sebelum pengsan dan dibawa ke hospital.

Sementara itu, seorang lagi pegawai agensi menyelamat, Heronimus Guru berkata, Fransiskus memberitahu, dia dan empat lagi penumpang sempat terjun sebelum helikopter itu terhempas.

“Semua penumpang berjaya mengapungkan diri dengan berpaut pada tong minuman sebelum mereka terpisah,” jelasnya.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat masih mencari bangkai helikopter berkenaan serta baki penumpang yang hilang.

Tasik Toba terletak di satu kawasan hutan di Sumatera dan popular dikalangan pelancong tempatan serta luar negara.

Tasik gunung berapi terbesar di dunia itu terbentuk daripada satu letusan gunung berapi besar yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu. -AFP


No comments