Pesawat Aviastar bawa 10 penumpang dilaporkan hilang di Sulawesi

Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Aviastar dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan menara kawalan Lapangan Terbang Andi Djemma, Masamba di Sulawesi Selatan.


Pesawat Aviastar bawa 10 penumpang dilaporkan hilang di Sulawesi
Pesawat Aviastar bawa 10 penumpang dilaporkan hilang di Sulawesi
Menurut laporan portal-portal media tempatan, pesawat jenis Twin Otter itu berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada 2.25 petang waktu tempatan dan terputus hubungan 11 minit setelah berlepas.


Pesawat kecil yang membawa tujuh penumpang dan tiga anak kapal itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di Makassar pada 3.35 petang.

Ketua Pusat Penerangan dan Komunikasi Kementerian Perhubungan Indonesia, J.A Barata, dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya masih belum mendapat maklumat lengkap mengenai kedudukan pesawat itu dilaporkan hilang.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya hanya dapat mengesahkan bahawa pesawat itu dilaporkan hilang kerana terputus hubungan dan tidak mendarat di Makassar seperti yang dijadualkan.

Siasatan mengenainya masih dijalankan, katanya.

Katanya, pesawat berkenaan hilang hubungan radio kira-kira 30 minit sebelum ia dijadualkan mendarat di ibu negeri provinsi itu, Makassar.

Ia membawa tiga kru dan tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak dari Masamba di provinsi sama. Satu pasukan sudah dikerahkan bagi mencari pesawat milik Aviastar Mandiri itu.

Masamba ialah bandar kecil di kawasan sungai di Luwu Utara, Sulawesi Selatan dan terletak pada jalur Trans-Sulawesi yang menghubungkan Sulawesi Selatan dengan Sulawesi Tengah.-3/10/2015


No comments