Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi anak watan - Najib

Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi adalah anak watan yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.


Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi anak watan - Najib
Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi anak watan - Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masyarakat berkenaan juga memainkan peranan dalam pertumbuhan yang menakjubkan di negara ini.

“Sebab itu anda bukan pendatang. Anda adalah anak watan. Anda dilahirkan di sini, membesar di sini, dan apabila tiba masanya, apabila anda meninggal dunia, anda akan dikebumikan di sini,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan nasional ke-44 Parti Gerakan


“Itulah kenyataannya. Kita berada di sini sebagai rakyat Malaysia,” katanya disambut tepukan 1,618 perwakilan yang menghadiri persidangan itu di Pusat Konvensyen Setia City.

Beliau juga mengulangi bahawa pendidikan Cina di negara ini akan terus wujud, sambil menambah bahawa kewujudannya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Malaysia juga satu-satunya negara di luar China dan Taiwan yang membenarkan sekolah-sekolah Cina untuk berkembang.

Najib berkata walaupun terdapat sekolah-sekolah vernakular, adalah penting untuk Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang kaum untuk mempunyai rasa perpaduan dan bekerjasama ke arah perpaduan nasional yang padu.

“Kita semua mesti percaya bahawa keharmonian negara, perpaduan nasional dan perpaduan negara adalah idea-idea yang kita semua patut bercita-cita untuk mencapainya.

“Ia akan menjadi cabaran yang besar, ia tidak mudah namun saya percaya kita semua mesti bersatu padu di bawah satu bumbung, “katanya.

Najib berkata dengan bergerak ke hadapan, beliau akan memastikan masa depan Malaysia adalah berdasarkan kepada kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia akan terus menjadi sebuah masyarakat berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya berdasarkan prinsip kesederhanaan. Perkara itu menjadi dasar Barisan Nasional,” katanya. – BERNAMA


No comments