Terkini

Tampar Pekerja Bangladesh: Hukuman Setimpal Sebagai Pengajaran

Seorang ahli perniagaan diperintah membayar kompaun RM5,000 kepada seorang pekerja pusat cuci kenderaan warga Bangladesh serta majikannya kerana mendatangkan cedera parah ke atas pekerja itu sehingga patah hidung.


Tampar Pekerja Bangladesh: Hukuman Setimpal Sebagai Pengajaran
Majistret Ellyana Razali mengeluarkan perintah itu selepas tertuduh, Mohd Risamuddin Ab Wahab dan mangsa, Shaheb Ali serta majikannya, Haziyati Abdul Hamid mencapai persetujuan supaya tertuduh dikenakan kompaun di bawah peruntukan Seksyen 260 Kanun Prosedur Jenayah.

Baca: Video: Pelanggan Berlagak Tampar dan Ugut Pencuci Kereta Bangla

Ellyana memerintahkan Mohd Risamuddin,36, membayar kompaun secara tunai hari ini dan memerintahkan tertuduh memohon maaf secara terbuka kepada Shaheb serta Haziyati atas perbuatannya itu.Mohd Risamuddin memohon maaf kepada kedua-dua individu berkenaan serta bersalaman dengan Shaheb.


Selain itu, seperti dipersetujui kedua-dua pihak, mahkamah turut mengeluarkan perintah supaya kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media dan tiada tindakan undang-undang lain diambil mereka berhubung kes itu.

Sebelum ini, Haziyati dilaporkan bertindak memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang lelaki menampar muka seorang pekerja warga Bangladesh ke Facebook miliknya sehingga menyebabkan ia menjadi viral di laman sosial.

Dalam postingnya, wanita itu mendakwa, lelaki berkenaan menampar pekerja Bangladesh selepas berang keretanya yang dimasuki warga asing itu kotor.

Terdahulu, Mohd Risamuddin dari Sunway Alam Suria, Seksyen U10 di sini, mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas Shaheb, pada 12.45 tengah hari pada 17 Oktober lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Master Clean Car Care beralamat di No.30H, tingkat bawah, Jalan Dinar F U3/F, Taman Subang Perdana, Kampung Baharu Subang di sini.

Mohd Risamuddin didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah mengenai persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak itu berikutan kes yang dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan boleh dikenakan kompaun.

Peguam Nur Ashikin Kamal yang mewakili tertuduh mengesahkan perkaraberkenaan.– Bernama, 21 Oktober, 2015.


No comments