Terkini

Tiga kanak-kanak melecur teruk belon gas meletup di tapak karnival

Kemaman : Dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki melecur teruk selepas puluhan belon berisi gas meletup di tapak Karnival Pekan Budaya Daerah Kemaman di Pantai Teluk Mak Nik, dekat sini, Sabtu lalu.


Tiga kanak-kanak melecur teruk belon gas di tapak karnival meletup
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, difahamkan, belon yang meletup adalah belon yang telah digunakan untuk gimik perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Kemaman yang berlangsung di tapak sama pada sebelah paginya.


Selepas tamat program sukan itu, kesemua belon itu kemudiannya mahu diagihkan kepada kanak-kanak, sebelum ia meletup menyebabkan dua murid, Nur Dhiya Safiah Muhammad Ridwan, 10, dan rakannya, Nurul Atirah Ibrahim, 10, melecur di bahagian muka dan kedua-dua tangan.

Adik Atirah Ibrahim memotong tali belon di pentas hari sukan yang baru selesai dirasmikan.

“Ratusan belon meletup dan saya dan rakan tidak mampu berbuat apa-apa,” kata Nurul Atirah yang melecur teruk di muka dan tangan akibat terkena letupan belon.

Keadaan lecuran pada wajah dan kedua-dua tangan Nur Dhiya ketika balutan dibuka semalam.

Menurut Atirah dia tidak tahu bahawa menggunakan pemetik api itu akan mengundang bahaya yang menyebabkan ratusan belon dipentas berkenaan meletup.

Petugas lelaki yang mengagihkan belon itu yang berusia 47 tahun pula melecur di tangan dan telinga kiri, selain dua lagi pengunjung mengalami kecederaan ringan.

Saksi kejadian, Muhammad Firdaus Ruslan, 25, berkata, bunyi kuat seperti alat pembesar suara atau ‘speaker’ pecah kedengaran ketika kesemua belon berisi gas helium itu meletup satu persatu.

Hanafiah menyerahkan sumbangan kepada NurDhiya yang mengalami kecederaan paling serius apabila seluruh muka dan kedua-dua tangannya melecur.

“Terkejut dengar letupan itu, saya berlari ke arah kawasan yang berasap dan tengok beberapa mangsa sedang menggelupur sakit.

“Lengan baju salah seorang budak perempuan juga hancur. Tapi pasukan perubatan yang ada di tapak program sangat cepat beri rawatan kepada semua mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika kejadian berlaku, kawasan itu dikerumuni ramai kanak-kanak yang mahu mendapatkan belon berkenaan secara percuma

Semua mangsa yang telah diberi rawatan kecemasan kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Menurut Muhammad Firdaus, ketika mangsa lelaki yang juga bekerja sebagai pemandu sedang dirawat, dia sempat bertanya bagaimana belon-belon itu boleh meletup.

“Mangsa beritahu saya, ketika dia nak longgarkan ikatan tali pada belon, ada seorang kanak-kanak menyalakan pemetik api ke arah belon hingga letupan dahsyat itu terjadi,” katanya

Bagaimanapun, daripada kesemua lima mangsa yang terlibat, hanya Nur Dhiya dan Nurul Atiqah sahaja yang alami kecederaan serius

Mereka berdua yang pada awalnya dirawat di Hospital Kemaman namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Adun Chukai, Hanafiah Mat turut meluangkan masa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada kedua-duanya di HSNZ semalam. -Foto dan Berita Sinar Harian


No comments