Terkini

Dua perompak maut kemalangan dalam aksi kejar mengejar dengan Polis

JOHOR BARU: Riwayat dua perompak berakhir dengan tragedi, selepas terbabit dalam adegan kejar-mengejar, sejurus merompak seorang lelaki di Jalan Abiad, Taman Pelangi, lewat malam semalam.


Dua perompak maut kemalangan, dalam aksi kejar mengejar dengan Polis
Dua suspek lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu mati serta-merta di tempat kejadian, selepas kereta Toyota Vios berwarna putih yang digunakan mereka, dikejar mangsa dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Tebrau, pada jam 11.40 malam Isnin.


Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu terpelanting dari kereta, manakala penumpang pula tersepit dalam bangkai kereta itu.

Kedua-dua suspek mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Sultanah Aminah Hospital untuk bedah siasat.

Seorang kakitangan TNB yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu mengalami kecederaan di kepala, manakala rakannya yang berada di tempat duduk hadapan, patah di kaki kanannya.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, kejadian itu bermula pada jam 11.30 malam, ketika seorang peniaga berusia 33 tahun keluar dari kenderaan Toyota Wish untuk membeli makanan di Jalan Abiad.

“Tiba-tiba, seorang daripada suspek mengeluarkan sebilah parang dan mendekati serta mengugut mangsa, sebelum melarikan diri dengan begnya.

“Suspek bersenjata itu berlari ke arah sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu rakan sejenayahnya dan mereka melarikan diri ke arah Jalan Kuning di kawasan sama,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sulaiman berkata, mangsa segera masuk ke dalam kenderaannya dan mengejar suspek.

“Suspek terus memecut, apabila mereka sedar diekori,” katanya sambil menambah, kereta dinaiki dua suspek itu kemudiannya melanggar kenderaan pacuan empat roda TNB di laluan kanan Jalan Tebrau.

Siasatan awal mendapati, lokasi rompakan dan kemalangan itu hanya sejauh 2.5 kilometer.


Pemandu kereta itu dikenali sebagai lelaki berusia 28 tahun yang menganggur dan mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Suspek utama pula adalah lelaki berusia 34 tahun yang juga menganggur dan dipercayai memiliki parang itu.

Sulaiman berkata, beg mangsa hanya mengandungi wang tunai RM200 dan beberapa dokumen peribadi.

“Kami mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kerana rompakan bersenjata menggunakan sebilah parang dan juga Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.


No comments