Jurutera maut kereta hilang kawalan di Lebuhraya PantaiTimur 2 (LPT 2)

KEMAMAN: Seorang jurutera maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan dalam kejadian di kilometer 252.1 Lebuhraya PantaiTimur 2 (LPT 2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Perasing, Sabtu malam.


Lebuhraya PantaiTimur 2 (LPT 2)
Lebuhraya PantaiTimur 2 (LPT 2)
Nahas kira-kira jam 10.45 malam itu mengakibatkan mangsa Muhammad Faizol Mohammad, 26, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.


Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuhraya sebelum merempuh tembok konkrit berhampiran tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang memandu berseorangan dikatakan dalam perjalanan pulang dari Seremban ke kediamannya di Kemasik.

Menurut, rakan mangsa Hafifi Hasnan, 26, sebelum itu mangsa sempat memuat naik gambar di laman sosial Instagram miliknya untuk memaklumkan kepada rakan- rakannya yang lain bahawa dia sudah hampir tiba di Kemaman.

“Dia sempat merakam gambar papan tanda Tol Jabor sebelum kejadian dan berkongsi dalam Instagramnya bersama rakan berkenaan pengorbanannya berulang alik dan tinggal berjauhan dengan isterinya.


“Namun tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan dari rakan mengatakan yang dia telah terlibat dalam kemalangan dan saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kemaman.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat. -BERNAMA


No comments