Melayu Terakhir di Pulau Singapura, Masih Lagi Ke Laut Menahan Bubu

Sebanyak 63 pulau di selatan Singapura sebelum ini menempatkan kira-kira 10,000 orang penduduk asal orang Melayu yang mendirikan kampung, bercucuk tanam dan menjadi nelayan. Kini segalanya hanya tinggal kenangan.


Melayu Terakhir di Pulau Singapura, Masih Lagi Ke Laut Menahan Bubu
Melayu Terakhir di Pulau Singapura, Masih Lagi Ke Laut Menahan Bubu
Kebanyakannya ditebus guna untuk kegunaan industri petroleum, ketenteraan dan pelancongan.

Jurugambar, Zainal Zakaria berkata beliau bersama rakan-rakannya berjaya menjejak lebih 100 orang penduduk berkenaan untuk projek rakaman dokumentari Island Nation.


Jurugambar bersekutu untuk agensi kreatif Captured itu menjelaskan, pada pertengahan 1990-an, masyarakat Melayu di kepulauan tersebut ditempatkan semula di pulau besar Singapura.

Jelasnya, ada kalangan warga ini menganggap rumah pangsa yang diperolehi sebagai pampasan itu tidak lebih dari sebuah penjara.Katanya, mereka terpaksa menjalankan projek dokumentari tersebut secara tergesa-gesa kerana bimbang tidak dapat merakam sejarah lisan daripada warga tersebut.

"Salah seorang daripada penduduk asal yang ditemubual oleh mereka meninggal dunia sebelum projek tersebut dapat disiapkan," kata Zainal.

Masih ke laut menahan bubu

Tambahnya, ada individu yang hanya mampu menangis hiba apabila terkenang pada perahu, karang laut dan ikan yang menjadi punca rezeki.

“Apabila kerajaan menawarkan pampasan ke atas tanah, ada yang OK kerana anak mereka tidak lagi perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menaiki bot selama satu jam ke sekolah.“Yang lainnya berasakan bahawa syurga mereka sudah tiada. Cara hidup ibu bapa dan nenek mereka yang tidak memerlukan sebarang wang sudah tiada lagi,” kata Zainal, 30.

Dokumentari berkenaan antara lain merakam kehidupan Mohamed Sulih Supian, satu-satunya penduduk yang masih tinggal di Pulau Sekijang Bendera, yang juga dikenali dengan nama St John's Island.Sulih akan menaiki bot ke pulau besar Singapura sekali seminggu untuk sembahyang Jumaat dengan tambang SG$18 untuk setiap perjalanan.


Siri dokumentari itu turut memaparkan kehidupan nelayan Pulau Seking dan Pulau Semakau yang masih turun ke laut untuk menahan bubu.

Projek ini merupakan salah satu daripada inisiatif Singapore Memory Project bawah National Library Board.Projek berkenaan mempersembahkan kenangan negara republik itu sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50.-MALAYSIAKINI


No comments