Terkini

Najib sepatutnya didakwa sabotaj, bukan Khairuddin dan Matthias, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang seharusnya didakwa kerana mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara, bukannya pemberi maklumat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.


Tun Dr Mahathir Mohamad
Najib sepatutnya didakwa sabotaj, bukan Khairuddin dan Matthias, kata Dr Mahathir
Beliau berkata, mereka yang menubuhkan dana pelaburan negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengurusannya, adalah pihak yang mensabotaj negara ini, yang sebelum ini mempunyai pengurusan kewangan dan sistem perbankan yang baik.

Baca: Khairuddin, Matthias didakwa cuba sabotaj sistem kewangan negara

"Mereka orangnya yang harus didakwa di mahkamah kerana mensabotaj sistem kewangan dan perbankan Malaysia. Memandangkan Najib yang mewujudkan 1MDB, meminjam RM42 bilion dan melabur wang dan menghilangkannya, Najib juga harus didakwa dengan sabotaj," kata beliau dalam blognya hari ini.


"Selain itu, semua orang, sejak awal penubuhan 1MDB hingga kepada pinjaman itu, kepada pemberita akhbar dan laporan kepada polis, semuanya harus didakwa mensabotaj sistem kewangan dan perbankan Malaysia."

Najib juga ialah menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Khairuddin dan Chang didakwa bulan lalu kerana dikatakan cuba mensabotaj ekonomi Malaysia dan sistem kewangan dan perbankan negara.

Khairuddin, bekas naib pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan dituduh mensabotaj negara selepas membuat laporan kepada penyiasat di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom berhubung skandal 1MDB.

Chang adalah peguamnya.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Dr Mahathir berkata, beliau keliru dengan pertuduhan terhadap Khairuddin dan Chang yang juga merupakan bekas pembantu politiknya, kerana mereka membuat laporan terhadap 1MDB lama selepas laporan berita diterbitkan berkenaan dakwaan salah urus dana pelaburan negara itu.

"Tetapi laporan akhbar asing itu, mengenai penipuan dalam pelaburan 1MDB, diterbitkan lama sebelum Khairuddin membuat laporan.

"Laporan-laporan berita ini bukan laporan biasa tetapi penerangan yang sangat terperinci mengenai apa dan siapa yang terlibat. Mereka melaporkan apa yang diketahui umum ke seluruh dunia.

"Mengapa laporan-laporan akhbar itu tidak disangkal dengan sepuasnya oleh 1MDB atau Kementerian Kewangan memandangkan gambaran yang diberikan mengenai dakwaan penyalahgunaan sistem kewangan dan perbankan Malaysia boleh akhirnya mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap suasana politik dan ekonomi serta kewangan Malaysia juga?" dia bertanya.

Bekas perdana menteri itu, yang dulunya penyokong Najib tetapi kini beralih arah, berkata tidak akan ada laporan akhbar atau aduan polis jika tiada 1MDB dan hutang RM42 bilion yang dikumpulnya dalam masa 6 tahun beroperasi.

"1MDB mungkin menjual tanah yang dibelinya pada RM60 sekaki persegi daripada kerajaan pada kadar 5,000% lebih dari harga pembelian dan membayar balik pinjaman itu.

"Tetapi hakikatnya, jika 1MDB tidak diwujudkan, sejumlah besar wang pinjaman tidak akan hilang. Oleh itu, 1MDB dan mereka yang bertanggungjawab masih perlu didakwa kerana penyalahgunaan sistem perbankan dan kewangan, pembayaran balik pinjaman, walau apa pun," katanya. – 2 November, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-sepatutnya-didakwa-sabotaj-bukan-khairuddin-dan-matthias-kata-dr-maha#sthash.4OgQGIhM.dpuf


No comments