Pelajar SPM Bunuh Diri Hadir Lewat Lima Minit Ketika Peperiksaan

BERITA kematian seorang remaja lelaki yang dilaporkan membunuh diri ekoran dipercayai kecewa setelah gagal menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas Matematik Tambahan 1, ternyata mengejutkan ramai pihak.


Pelajar SPM Bunuh Diri Hadir Lewat Lima Minit Ketika Peperiksaan
Pelajar SPM Bunuh Diri Hadir Lewat Lima Minit Ketika Peperiksaan
Dalam pada itu, rakan sekelas mangsa yang tidak ingin dikenali mendedahkan, pada hari kejadian, mangsa, Hon Ye, tiba lima minit lewat untuk menjawab soalan kertas Matematik Tambahan 1 pada Selasa lalu.

Menurutnya, hal itu membuatkan dia berasa pelik kerana pada kebiasaannya, rakannya itu selalu menepati masa.

“Kami tidak pernah terfikir dia begitu tertekan sehingga sanggup mengambil nyawanya sendiri.

“Dia memberitahu guru dia mahu pulang ke rumah dan meninggalkan peperiksaan separuh jalan.

“Selepas itu, apabila beberapa rakan mengajaknya keluar makan, dia menolak pelawaan mereka. Perkara seterusnya yang kami tahu, dia menggantung dirinya sendiri,” kata pelajar berkenaan.

Selain itu, pelajar tersebut turut menyifatkan mangsa yang juga merupakan pelakon bagi drama tempatan berbahasa Cina sebagai pelajar yang kuat berusaha dan cemerlang dalam pelajaran.

“Kamu tidak akan pernah melihat dia tanpa buku. Dia selalu tinggal berseorangan dalam kelas untuk belajar“, katanya seperti yang dipetik di Malaymail Online.

Manakala, seorang lagi rakan mangsa memberitahu, Hon berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan PMR.

“Subjek kegemarannya adalah kimia. Dia juga sebahagian dari program JUARA untuk pelajar-pelajar cemerlang,” katanya.

Tambahnya, mangsa merupakan pelajar yang sangat merendah diri dan tidak pernah menunjuk meskipun dia adalah seorang pelakon.


Sementara itu, rata-rata pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Kuala Lumpur turut menyifatkan mangsa, Hon Ye sebagai individu yang periang.

Difahamkan, semasa peperiksaan percubaan SPM, Hon mendapat 9A, 1 B.

Terdahulu, akhbar melaporkan mayat seorang pelajar berusia 17 tahun ditemui tergantung di dalam biliknya dengan tali leher dilehernya di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang.


No comments