Terkini

Perkenalan dengan seorang gadis berakhir dengan perkahwinan Syiah

Perkenalan singkat dengan seorang gadis di laman sosial tidak disangka berakhir dengan perkahwinan Syiah. Seorang usahawan muda, Irfan Amar (bukan nama sebenar), 30, berkata dia mengenail gadis warga Thailand itu pada 2010 sebelum bertunang sebulan selepas itu.


Tak Kusangka, Isteriku Syiah Rupanya

Perwatakan gadis 19 tahun tersebut yang lemah lembut dihiasi dengan sopan santun membuatkan Irfan terpesona pada pandangan pertama.

Menurut Irfan, tarikh pertunangan dia dan gadis tersebut ditetapkan oleh ahli keluarga wanita ketika pertemuan kali pertama di rumah mereka di negara jiran.


“Segalanya bermula perkenalan kami di laman sosial. Oleh kerana niat ikhlas untuk bernikah dan menamatkan zaman bujang, saya mengambil keputusan untuk mengenalinya lebih rapat.

“Saya mengambil keputusan untuk ke rumahnya di Thailand untuk mengenali keluarganya terlebih dahulu. Proses perkenalan itu berjalan dengan baik,” katanya memetik laporan dari Sinar Online.

Irfan berkata, keraguan mula timbul di hatinya setelah dia didesak bertunang secara tergesa-gesa sedangkan baru sebulan mereka berkenalan.

“Setibanya di rumah wanita itu, kami sekeluarga terkejut apabila niat untuk berkenalan bertukar kepada penetapan tarikh bertunang.

“Kami menjadi serba salah dan terkejut dengan cara yang dibuat oleh keluarga wanita itu. Seolah-olah saya dan keluarga terperangkap,” katanya.

Namun, Irfan dan keluarga bersangka baik dan meneruskan pertunangan.

“Selepas bertunang, keluarga mereka mendesak kami lagi supaya pernikahan itu disegerakan seolah-olah tidak memberi kami peluang menetapkan tarikh, mengenal keturunan mereka dan dipaksa dengan cara yang amat halus.

“Atas desakan dan singkatnya tempoh perkenalan itu, kami bertunang dan akad nikah di negara jiran. Saya masih beranggapan baik pada ketika itu,” katanya.

Irfan berkata dia kemudian bernikah pada 2011 mengikut pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tanpa dihadiri oleh ahli keluarga.

“Saya mula menyedari mereka adalah dari keluarga Syiah apabila kami tidak dibenarkan bersama selagi tidak bernikah kali kedua iaitu di sebuah rumah dekat belakang Masjid Hutan Kampung, Alor Setar.

“Akad nikah kali kedua itu pelik apabila ia dilakukan oleh pasangan perempuan dan dilafazkan dalam bahasa Arab. Dalam akad itu juga saya terdengar satu perkataan mut’ah iaitu kahwin kontrak,” kata Irfan.

Irfan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Agama Daerah Kota Setar semasa membuat proses pendaftaran nikah.

“Setelah dinasihatkan oleh pegawai pejabat agama, saya berasa sedikit tenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, saya dan isteri sukar menerima kenyataan serta sering bertengkar mengenai isu sunnah dan Syiah,” katanya.

Selepas berkahwin, isteri Irfan juga turut mengakui secara terus terang mengamalkan ajaran Syiah selain turut mengaku ibu bapanya berpegang kepada amalan itu.

“Pernah kami bertengkar mengenai ketaatannya kepada suami, namun dia menyatakan bahawa syurga seorang isteri terletak pada bawah kaki ibunya sendiri.


“Tetapi setiap kali bergaduh mengenai fahaman Syiah dan sunnah, dia menyatakan pula tidak mengikut jejak langkah keluarganya dan masih pengikut fahaman sunnah. Saya masih ragu mengenai perkara itu,” katanya.

Irfan juga berkata dia pernah dibawa melawat markas Syiah di Pendang beberapa kali dan pemimpin itu juga pernah melawat isterinya ketika melahirkan anak di Hospital Sultanah Bahiyah pada 2013.

“Saya meneliti setiap pergerakannya dalam melaksanakan tanggungjawab. Anak seringkali dibiarkan menangis dan memandikan anak pun lebih kurang sahaja.

“Pernah juga dia keluar rumah tanpa keizinan saya beberapa kali dan sibuk dengan aplikasi laman sosial di telefon pintar,” katanya.

Irfan berkata, sikap isterinya itu mencabar nalurinya sebagai seorang suami yang memendam rasa sekian lama dan terpaksa menceraikan isteri pada 1 April lalu.

“Setelah berpisah, ia menjadi satu tekanan kepada saya kerana anak perempuan yang kini berusia dua tahun berada dalam jagaan bekas isteri,” katanya.

Irfan berkata dia tidak mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya.

“Mungkin saya tidak banyak bukti, tapi di rumah mertua memang tersimpan banyak kitab Syiah,” katanya sambil berkata dia berharap mendapat bantuan dari pihak tertentu bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak perempuannya. - SH


No comments