Terkini

Raja llya teruja rangkul gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama

Pelakon yang baru dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau nama komersilnya, Raja llya, meluahkan perasaan teruja dan tidak menyangka sama sekali akan berjaya membawa pulang trofi pada malam Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) baru-baru ini.


Raja llya teruja rangkul Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama ASK2015
Raja llya teruja rangkul Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama ASK 2015
Malah pelakon jelita persis pelakon Hindustan ini, melihat pencalonan bagi kategori ini, menerusi drama Lorong Kecil Ke Syurga, amat sengit dan persaingannya cukup hebat.

“Inilah pertama kali saya merangkul anugerah yang tidak sama sekali saya menyangkakan.


“Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya melihatkan persaingan yang saya hadapi cukup hebat. Tetapi rezeki memihak kepada saya.

“Alhamdulillah pencalonan pertama saya dalam ASK 2015, membuahkan hasil,” kata Raja Ilya.

Menyedari selepas tujuh tahun menceburi dunia lakonan, bakat pelakon jelita ini baru diiktiraf, dia menganggapnya secara peribadi, sebagai sejarah tersendiri.

Kemenangan pelakon berusia 29 tahun itu dinilai berdasarkan potensi lakonannya menewaskan empat calon lain seperti pelakon hebat Normah Damanhuri, Nad Zainal, Ellie Suriati dan Reen Rahim.

Terkejut dengan kemenangan itu, Raja Ilya, sebak ketika menerima trofi kemenangannya.

"Sejujurnya, saya tak pernah mimpi untuk naik ke atas pentas dan menerima anugerah. Lebih-lebih lagi, hasil lakonan saya lebih menjurus kepada watak antagonis.

"Tapi, saya tak sangka pula dengan watak antagonis pun, kita masih boleh memenangi anugerah kerana pada saya. Setahu saya anugerah seperti ini hanya untuk mereka yang membawakan watak-watak utama ataupun protagonis.

"Sebab itu, apabila saya naik ke atas pentas, saya rasa sebak. Kalau boleh, saya mahu sebutkan semua senarai nama yang terlibat kerana kemenangan ini hasil usaha daripada semua pihak. Alhamdulillah," katanya.

Puas dengan perjalanan seninya, pelakon drama dari adaptasi novel Tuan Anas Mikael karya Syammuriezmil ini, turut mengimpikan untuk bergelar Pelakon Wanita Terbaik, suatu hari nanti.

"Sudah tentu, setiap pelakon mengimpikannya. Begitu juga saya. Sekurang-kurangnya, saya mahu tunjukkan dengan watak antagonis juga boleh layak untuk mendapat pengiktirafan sedemikian," katanya lagi.

Karya terbitan Aniq Communication ini turut berjaya membolot lima trofi iaitu Pengarah Terbaik Drama, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik Drama dan Penyunting Terbaik Drama.


Malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dimeriahkan vokalis kumpulan Wings, Awie, dan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebagai pengacara.

Anugerah ASK2015 dianjurkan sejak 1995, kini memasuki tahun ke-17, mengiktiraf karyawan seni tempatan melalui filem, drama, lakonan dan kerja di belakang tabir.-17/11/2015


No comments