Terkini

Rakyat Malaysia ceritakan saat-saat cemas serangan pengganas di Paris

“Ketika kejadian saya berada dalam tren untuk pulang ke rumah. Tren yang saya naiki itu tiba-tiba berhenti dan kedengaran pengumuman yang menyatakan telah berlaku sesuatu di stesen seterusnya,” kata seorang rakyat Malaysia di Paris.


Serangan Pengganas di Bataclan Concert, Paris
Serangan Pengganas di Bataclan Concert, Paris
Menceritakan pengalamannya mengenai kejadian serangan di Paris semalam, Mohd Farid Razali, 28, berkata suasana di dalam kereta api kemudiannya menjadi cemas dengan orang ramai mula berlari untuk keluar dari situ.

Baca: Tembakan Rambang Guna AK-47 Sekumpulan Lelaki Selama 10 minit


Katanya, beliau berada kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian iaitu Gare Stade de France-Saint Denis atau stesen kereta api berhampiran Stadium Stade de France pada kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan. “Saya boleh lihat ada yang menangis, ada yang menelefon keluarga dan sebagainya malah saya sendiri turut berlari keluar dari kereta api kerana takut jika terdapat serangan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Farid berkata, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya di Aulnay-sous-Bois dengan menaiki bas dan melihat polis sudah mengadakan kawalan di merata tempat.

Mohd Farid berkata beliau kini selamat berlindung di dalam rumahnya dan berdasarkan status Facebooknya didapati kebanyakan kenalannya rakyat Malaysia juga selamat.


“Saya sudah maklumkan kepada keluarga saya di Malaysia dan pihak kedutaan tentang keadaan saya dan kami rakyat Malaysia sentiasa kemas kini perkembangan terkini dengan mereka,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera projek di Paris berkata pihak kedutaan juga telah memberikan nombor telefon kecemasan yang boleh dihubungi rakyat Malaysia melalui Facebook.

Mohd Farid berkata, setakat ini mereka hanya menerima arahan untuk berada di dalam kediaman masing-masing dan perlu memberi bantuan kepada mereka yang terkandas di dalam tren atau bas. — BERNAMA


No comments