Sayu!!.. “Tak mengerti apa, Muhammad Aish seolah mencari ibunya..”

Muar – “Muhammad Aish masih terlalu muda untuk mengerti apa yang berlaku namun ada kalanya, dia seolah-olah mencari ibunya,” kata Anita Abdul Aziz. 42, ibu saudara kepada Allahyarham Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, kerani sekolah agama yang dirompak sebelum dibunuh di rumahnya di Taman Setia Kasih, Sungai Terap di sini, Isnin lalu.


“Tak mengerti apa, Muhammad Aish seolah mencari ibunya..”
“Tak mengerti apa, Muhammad Aish seolah mencari ibunya..”
Anita berkata, sejak tragedi itu, dia diminta ahli keluarga Nurul Shahira untuk menjaga anak tunggal arwah, Muhammad Aish Muhammad Faris yang berusia 11 bulan.


“Minggu lalu, arwah minta saya menjaga Muhammad Aish pada Disember ini kerana pengasuhnya mempunyai urusan.

“Malah sebelum ini pun, saya sudah biasa mengasuh Muhammad Aish ke rumah saya di Yong Peng. Arwah akan menjemput anaknya setiap hujung minggu namun kerana rindu, arwah mengupah pengasuh yang tinggal berdekatan rumahnya sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumah nenek arwah di Permatang Pasir, Bukit Pasir, semalam.

Menurut Anita, sejak kejadian itu, dia menjaga Muhammad Aish seperti biasa dan bersyukur bayi berkenaan tidak meragam atau terganggu kesihatannya.

“Alhamdulillah, kesihatan Muhammad Aish tidak terganggu. Ada kalanya dia memanggil ibunya namun keadaannya tidak membimbangkan malah selera makan selain waktu tidurnya tetap sama.

BACA: Kejam: Kejadian Perompak Rogol, Bunuh Kerani Sekolah di Muar (6 Foto)

“Mungkin disebabkan dia sudah biasa dengan saya, jadi dia tidak terlalu janggal,” katanya.

Anita yang juga ibu kepada empat anak yang semuanya lelaki berusia 9 tahun dan 21 tahun berkata, dia bersedia membesarkan Muhammad Aish dan berharap mendapat restu semua ahli keluarga.

Allahyarham Nurul Shahira Mohamed Yatim
Allahyarham Nurul Shahira Mohamed Yatim
Ibu arwah, Hayati Abdul Aziz, 56, menggambarkan pembunuhan itu sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan berharap pembunuh anaknya itu segera ditahan untuk diadili.

“Sebagai ibu, saya tidak boleh terima kekejaman yang dilakukan ke atas anak saya. Saya reda dengan kejadian itu namun tidak akan memaafkan orang yang melakukannya dan berharap polis dapat menahan penjenayah terbabit secepat mungkin.

BACA: Bunuh Kerani: Polis Tahan Enam Lelaki Warga Nepal Bantu Siasatan

“Kami sedih dengan kejadian ini namun berterima kasih kepada semua yang memberi bantuan serta sokongan,” katanya.

Menurut Hayati, ketika arwah dalam pantang selepas melahirkan Muhammad Aish, arwah berpesan supaya anaknya itu dijaga Anita.

“Pada masa itu saya sangka arwah bergurau dengan permintaannya, tetapi sekarang baru saya faham maksudnya,” katanya.


Sementara itu, 100 ahli Skuad Sayang Wanita UMNO Pagoh menziarah keluarga mangsa dan menyerahkan sumbangan sebagai tanda berkongsi kesedihan dan meringankan beban.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh Senator Datuk Noriah Mahat berkata, insiden menimpa arwah terlalu berat untuk ditanggung keluarga berkenaan dan berharap orang ramai akan memberikan sokongan moral kepada mereka.

“Kunjungan kami untuk memberi semangat selain melihat apa yang boleh dibantu bagi meringankan beban mereka,” katanya, lapor Harian Metro.


No comments