Terkini

Selepas Perceraian: Siapa lebih berhak ke atas penjagaan anak-anak?

Assalamualaikum w.b.t.
Saya ada beberapa kemusykilan tentang hak penjagaan anak.. saya dan bekas suami sudah berpisah hampir 4tahun melalui tuntuan fasakh yang diputuskan oleh mahkamah.


Selepas Perceraian: Siapa lebih berhak ke atas penjagaan anak-anak?

Sepanjang tempoh itu saya lah yang menyara 2 orang anak lelaki saya dari segala aspek.. bekas suami tidak membayar sebarang nafkah kepada saya. tetapi bekas suami ade datang menjenguk anak dalam tempoh 1-2jam sebulan sekali atau 2kali sahaja. segala urusan anak2 perbelanjaan sekolah, sakit, makan dan pakaian diuruskan oleh saya seorang diri.. Bekas suami dan saya belum berkahwin lagi sepanjang tempoh itu.

Saya baru baru ini ada dilamar oleh seorang lelaki yang berstatus duda dan mempunyai 3orang anak.. keluarga kami menerima lamaran itu dengan hati terbuka.. dan InsyaAllah akan melangsungkan pernikahan dalam tahun ni.. Dalam masa itu bekas suami mendapat tahu hal ini dan dia meminta supaya saya menyerahkan anak2 kepada dia apabila saya sudah bernikah lain nanti. dia mengatakan sudah sampai masa dia pulak yang mendidik anak2.. saya tidak berniat untuk memisahkan ayah dan anak.. tetapi sepanjang tempoh dulu saya tak pernah menyekat dia untuk berjumpa dengan anak2 walaupun dia tidak pernah memberi nakfah anak2. dia jugak kerap mengulang2 sms mengatakan dia akan mengambil anak2.. saya ada bertnya pada anak2 samada nak ikut ayah atau tidak.. anak2 berkata tak mahu, mereka mahu tinggal bersama saya.. anak2 jugak ada beritahu yang ayah mereka ada berkata pada mereka, sekiranya saya berkahwin saya akan tinggalkan anak2.. padahal saya tak pernah kata begitu.. selama ini pun susah senang saya tetap akan menjaga anak2.. saya berat hati untuk serahkan anak2 pada dia kerana saya rasa dia tidak layak. saya risau anak2 akan terabai..


Jadi sekarang saya mahu membuat permohonan untuk hak penjagaan anak..

Bagaimankah prosedurnya ?

Adakah benar kalau saya berkahwin lain, dia berhak untuk jagaan itu walaupun dia selama ini gagal membayar nafkah anak dan kurang ambil berat pada anak2 ?

Bagaimana cara yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan hak mutlak jagaan anak sementara mereka masih 6thn dan 5thn.. ?

Harap ada yang sudi membantu saya dalam permasalahan ini..

JAWAPAN

Hadhanah ialah menjaga dan mendidik kanak-kanak yang masih kecil dalam semua hal kehidupan sehingga umur tertentu oleh seseorang yang berhak dan bertanggungjawab ke atasnya sama ada dari kaum kerabat atau mahramnya. Hadhanah meliputi menjaga, memimpin dan mengatur segala hal ehwal kanak-kanak tersebut.

Dalam Islam pula, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai? Bermulalah episod perebutan anak yang begitu sadis jika kita baca di dada akhbar mahupun di internet.

Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,

Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini jelas menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah.

Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar. Namun begitu, apabila kanak-kanak menjangkau umur tertentu, maka lelaki lebih berhak mendidiknya kerana ia lebih mampu mengawasi, menjaga dan mendidik berbanding wanita.

Susunan Penjaga

Islam telah menetapkan susunan tertentu bagi seseorang penjaga kanak-kanak supaya penjagaan kanak-kanak akan lebih terjamin, kebajikan dan keselamatan mereka juga akan terbela. Susunan penjaga yang ditetapkan ialah :

  1. Ibu
  2. Nenek sebelah ibu hingga ke atas;
  3. bapa;
  4. Nenek sebelah bapa hingga ke atas;
  5. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  6. Kakak atau adik perempuan seibu;
  7. Kakak atau adik perempuan sebapa;
  8. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  9. Anak perempuan daripada kakak atau adik seibu;
  10. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa;
  11. Emak saudara sebelah ibu;
  12. Emak saudara sebelah bapa;
  13. Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah.
Susunan penjaga ini adalah sesuai dan selaras dengan apa yang terkandung di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 di dalam Seksyen 81.

Ibu merupakan orang yang paling berhak untuk menjadi penjaga bagi kanak-kanak. Walau bagaimanapun kelayakan bagi seorang ibu akan hilang untuk menjadi hadhinah (penjaga) apabila dia murtad atau terlibat dengan dosa dan kejahatan seperti berzina, mencuri, tidak bermoral seperti sering keluar rumah, berpoya-poya dan meninggalkan anak tidak terurus. Hal ini juga dinyatakan dalam Seksyen 83, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Syarat-Syarat Bagi Penjaga/Pengasuh

Bagi menjamin kebajikan dan keselamatan kanak-kanak juga, beberapa ciri tertentu telah ditetapkan terhadap seseorang penjaga dan pengasuh. Antaranya ialah;
  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Sempurna akal
  4. Adil
  5. Keupayaan memberi didikan kepada anak di bawah jagaannya iaitu menjaga kesihatan dan akhlak kanak-kanak
  6. Bersifat amanah dan akhlak yang luhur. Orang yang tidak ada amanah, tidak layak memberi didikan anak-anak dan membentuk akhlak yang baik.
Dalam kes Hisham lwn Azmuna pihak-pihak telah berkahwin di Melaka pada tahun 1987 dan mempunyai 7 orang cahaya mata. Pihak-pihak telah bercerai secara fasakh yang dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya pada 5hb. Mei 2009. Mahkamah memutuskan bahawa hak hadhanah diberikan kepada ibu (Defendan) dan bapa (Plaintif) diberikan hak lawatan bersama anak-anak berdasarkan persetujuan yang telah dipersetujui demi menjaga mashlah dan kebajikan anak-anak tersebut.

Aspek utama dalam penentuan hak hadhanah (memelihara) yang melibatkan kanak-kanak yang belum mumayiz oleh hakim adalah dengan melihat kepada aspek yang paling utama iaitu kebajikan anak itu sendiri. Pada dasarnya sebaik sahaja berlaku perceraian, sememangnya Islam meletakkan ibu sebagai golongan yang paling utama yang berhak mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang belum mumayiz.

Namun, apa yang menjadi keutamaan sebenarnya bagi mahkamah memutuskan mereka yang berhak mendapat hak hadhanah adalah dengan melihat aspek kepentingan atau kebajikan anak itu yang lebih utama. Ini kerana sekiranya ibu itu yang mendapat hak tersebut tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan baik hingga boleh mengabaikan kebajikan anak tersebut, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadhanah itu ditarik balik. Maka dalam menentukan aspek kebajikan anak ini, mahkamah akan mengaplikasikan konsep maslahah dalam membuat keputusan.

Selain itu, terdapat syarat tambahan menjadi faktor utama melayakkan pihak yang mendapatkan hak hadanah iaitu dari segi kemampuan pihak itu menjaga kebajikan anak dari segi pendidikan agama dan akademik, keperluan tempat tinggal sempurna yang boleh mempengaruhi pembesaran anak kelak, keperluan makan minum yang mana pihak hendaklah mempunyai sumber rezeki yang baik dan halal.

Pihak berkaitan juga hendaklah mengutamakan keselesaan anak itu. Harus diingat, bukan hak ibu bapa terhadap siapa yang hendak menjaga anak perlu diutamakan, sebaliknya kebajikan anak hendaklah diberi perhatian. Jika hak penjagaan anak diletakkan kepada ‘orang yang salah’, yang akan terkesan serta menderita adalah anak berkenaan. Anak akan terbiar dan teraniaya daripada segenap sudut seperti kebajikan, juga keselesaan.

Sewajarnya anak dibesarkan dalam jagaan dan perhatian yang baik. Tetapi disebabkan kecuaian dan rasa tidak bertanggungjawab pihak diberikan amanah untuk menjaganya akan menyebabkan anak dibesarkan dalam keadaan serta suasana tidak sempurna. Ia akan menyebabkan masa depan anak terjejas, perhatian dan kasih sayang yang berkurangan juga menyebabkan anak menjadi anak terbiar.

Secara kesimpulannya, meskipun ibu adalah golongan yang paling berautoriti ke atas hak hadhanah anak, namun ianya boleh berpindah kepada pihak lain sekiranya mahkamah berpandangan ianya demi memelihara kebajikan anak itu sendiri. Maka pertimbangan yang dirujuk oleh mahkamah adalah berdasarkan kepada aplikasi maslahah melibatkan aspek-aspek dalam maqasid syariah meliputi soal daruriyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Aspek daruriyyah yang perlu diambilkira meliputi soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka adalah jelas bahawa semua konsep serta aspek ini telah diaplikasikan secara berkesan oleh mahkamah bagi menentukan hak hadhanah kepada pihak yang berhak.

-----------

Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Seksyen 84 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan - Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat selepas kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Meskipun syarak menetapkan ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, hak itu tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan. Jika seseorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat ditetapkan, hak dan tanggungjawab hadanah akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan ditetapkan.

Ibu yang berkahwin dengan lelaki lain dan tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan hak hadanah baginya.

Menurut mazhab Syafie, seseorang penjaga (hadinah) mestilah seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.

Penjaga mesti baligh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak dan pencuri tidak berhak menjadi pengasuh. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.

Seksyen 82, Akta 303 memperuntukkan bahawa - syarat-syarat menjadi hadanah ialah

  1. dia adalah seorang Islam; 
  2. dia adalah sempurna akal;
  3. dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  4. dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islam; dan 
  5. dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk daripada segi akhlak atau jasmani.

Mempunyai akhlak yang mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan yang bercerai, bertujuan memelihara kanak-kanak itu daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak. Jika ibu hilang kelayakan untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu. Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.

Jika ibu atau nenek masih hidup dan tidak hilang kelayakan di sisi syarak untuk hadanah, bapa usahlah membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka.

Cukuplah bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah) anak itu. Yakinlah dengan syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan menjaga anak-anak.

Apabila sampai umur mumaiyiz, anak itu boleh berfikir dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, sama ada tinggal bersama ibu atau bapa.

Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - selepas tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal sama ada ibu atau bapanya, melainkan mahkamah memerintahkan sebaliknya.

Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah menyuruh seseorang anak yang mumaiyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal.

“Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa dia pergi.” (HR Imam Ahmad) Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber: Halaqah.net


No comments