SKMM dan Polis serbu pejabat portal berita Malaysiakini di Petaling Jaya

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis sedang mengadakan serbuan ke atas pejabat portal berita Malaysiakini di Petaling Jaya.


SKMM dan Polis Serbu Pejabat Malaysiakini
Kumpulan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis meninggalkan pejabat Malaysiakini sekitar jam 8 malam tanpa membuat sebarang tangkapan tetapi merampas sebuah komputer milik syarikat itu
Serbuan melibatkan sekitar 10 orang pegawai dari kedua-dua pihak berkuasa tersebut yang bermula pada kira-kira jam 5.15 petang ini, menurut sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, pegawai SKMM itu sedang berbincang dengan Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan pihak mereka masih tidak pasti motif serbuan itu.


Menurut sumber, kedatangan SKMM dan polis itu berhubung laporan eksklusif Malaysiakini mengenai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

Beliau yang pernah terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting sebelum ini dilaporkan ditukarkan secara mengejut minggu lalu.

The Malaysian Insider difahamkan berita mengenai laporan ini turut disiasat pihak polis.

Setakat ini, tiada sebarang tangkapan atau sebarang peralatan seperti komputer riba dirampas.

Pada Rabu, mengulas laporan Malaysiakini itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pertukaran yang dibuat itu hanya di peringkat dalaman dan Shazalee masih berkhidmat dengan SPRM, cuma bukan lagi di Bahagian Operasi Khas.

Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan yang sedang menyiasat SRC International Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan.

Nancy berkata, pertukaran itu adalah kerana kenaikan pangkat Shazalee dalam perkhidmatan awam, yang dinilai berdasarkan gred.

Kumpulan pegawai SKMM dan polis itu meninggalkan bangunan tersebut sekitar jam 8 malam tanpa membuat sebarang tangkapan, tetapi merampas sebuah komputer milik syarikat itu.

The Malaysian Insider difahamkan, siasatan yang dijalankan adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah.

Menurut sumber lagi, polis dan SKMM akan mengunjungi pejabat itu pada Isnin depan jam 12 tengahari bagi merakamkan kenyataan 2 wartawan.

Sementara itu, Bernama melaporkan The Star Online turut disiasat polis dan SKMM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad dilaporkan berkata, siasatan terhadap kedua-dua portal berita itu dibuat susulan satu laporan polis oleh seorang pegawai Jabatan Peguam Negara pada Selasa lepas.

"Pegawai itu mendakwa laporan berita berkenaan menjejaskan nama baik agensi terbabit (Jabatan Peguam Negara)," katanya ketika dihubungi, malam ini.


Zainuddin berkata pihaknya bersama pasukan JSJ Putrajaya dan SKMM hadir di kedua-dua pejabat portal berita itu di Petaling Jaya, kira-kira 6 petang tadi untuk menjalankan siasatan.

"Siasatan dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung artikel dikeluarkan mereka yang digunakan, seterusnya mengenal pasti pengarang terbabit untuk diambil keterangan," katanya. – The MalaysianInsider 6 November, 2015.


No comments