Tanah Runtuh: Sesak 5km, Pengguna Lebuhraya KL-Karak Terkandas

Bentong – Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sebelah Lentang-Bukit Tinggi terkandas lebih lima jam dalam kenderaan masing-masing akibat tanah runtuh di KM 52.4 malam tadi.


Sesak sepanjang 5km, Pengguna Lebuhraya KL-Karak Terkandas kerana tanah runtuh
Sesak sepanjang 5km, Pengguna Lebuhraya KL-Karak Terkandas kerana tanah runtuh
Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan laluan itu sepanjang lima kilometer.

Salah seorang pengguna lebuh raya, Hamdan Ahmad, 35, berkata beliau bersama isterinya Raihanah Ayob dalam perjalanan pulang ke Kuantan terkandas sejak pukul 7.15 malam di KM 40.


“Apa boleh buat tidak sangka berlaku tanah runtuh hari ini… saya redha dengan apa yang berlaku,” kata Hamdan, seorang peniaga, kepada Bernama.

“Nasib baik saya dan isteri ada bawa sedikit roti dan air… sekurang-kurangnya dapat mengalas perut jika kerja-kerja pembersihan jalan memakan masa yang lama,” katanya.

Sementara itu, Jazman Omar, 30, yang dalam perjalanan ke Kelantan berkata nasib malang menimpa beliau apabila van yang dipandunya rosak dalam kesesakan lalu lintas.

“Saya tidak sangka kenapa tiba-tiba kereta rosak…mungkin sebab enjin panas lagipun kereta ini sudah lama,” katanya.


Kejadian tanah runtuh yang membawa lumpur itu menutup laluan sepanjang 500 meter.

Seramai 100 anggota dari pasukan bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis melakukan kerja pembersihan jalan bermula 7.30 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat berkata kejadian tanah runtuh itu berlaku pada pukul 6.35 petang dan menyebabkan banjir lumpur di sepanjang 500 meter laluan berkenaan.


Tiada mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan tiada kenderaan tertimbus dalam insiden itu.

Hanya tiga buah kereta dan sebuah lori yang terjejas, katanya, lapor Bernama.


No comments