Arab Saudi Potong Subsidi Minyak, Naikkan Harga Petrol Hingga 50%

Arab Saudi menaikkan harga petrol sehingga lebih 50 peratus mulai semalam susulan pemotongan subsidi selepas negara itu mencatatkan belanjawan defisit.


Arab Saudi Potong Subsidi Minyak, Naikkan Harga Petrol Hingga 50%
Arab Saudi Potong Subsidi Minyak, Naikkan Harga Petrol Hingga 50%
Kenaikan harga juga membabitkan tarif elektrik, air, diesel dan minyak tanah selepas Kabinet diketuai Raja Salman memutuskan pengurusan subsidi bahan berkenaan, lapor agensi berita SPA, semalam.


Kabinet memutuskan harga petrol gred tinggi naik 0.90 riyal (AS$0.24) seliter berbanding 0.60 riyal sebelum ini iaitu kenaikan 50 peratus, manakala petrol gred rendah 0.75 riyal (AS$0.20) seliter berbanding 0.45 riyal seliter iaitu peningkatan 67 peratus.

Unjur pengurangan Riyadh juga mengunjurkan pengurangan AS$87 bilion dalam bajet tahun depan yang pertama sejak Raja Salman mengambil alih pemerintahan pada Januari lalu, selepas Arab Saudi mencatat belanjawan defisit AS$98 bilion (RM421.10 trilion) pada 2015.

Kementerian Kewangan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, pendapatan pada 2015 dijangka 608 bilion riyal (AS$162 bilion), terendah sejak 2009 apabila harga minyak jatuh berikutan krisis kewangan global.

"Bajet dibuat ditengah persekitaran ekonomi serantau dan antarabangsa yang mencabar termasuk harga minyak rendah," kata kenyataan itu.

Defisit 2015 adalah tertinggi dalam sejarah Arab Saudi yang bergantung kepada minyak bagi 90 peratus pendapatan awam, tetapi tidak sebesar yang dijangkakan sesetengah pihak.

Pendapatan pada 2015 adalah 15 peratus lebih rendah daripada diunjurkan dan 42 peratus lebih rendah berbanding 2014, selepas harga minyak jatuh sebanyak hampir satu pertiga sejak pertengahan 2014 ke bawah paras AS$40 satu tong.

Kejatuhan itu sebahagian besarnya berikutan dasar Arab Saudi dan negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang enggan mengurangkan pengeluaran minyak.

Harga minyak jatuh ekoran maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan kelmarin dengan kontrak penanda minyak mentah AS, West Texas Intermediate jatuh AS $1.29 kepada AS$36.81 satu tong, sementara minyak mentah Brent susut AS$1.27 kepada AS$36.62 satu tong di London.

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengunjurkan defisit 2015 sekitar AS$130 bilion dan laporan lain juga mengunjurkan ia lebih AS$100 bilion.

Kementerian Kewangan Arab Saudi berkata, pendapatan minyak mewakili 73 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2015, lebih rendah berbanding sumbangan pada tahun sebelumnya.


Sementara itu, pendapatan bukan minyak meningkat 29 peratus kepada AS$43.6 bilion.

Bajet 2016 mengunjurkan pendapatan sebanyak AS$137 bilion,terendah dalam tempoh enam tahun dan perbelanjaan sebanyak AS$224 bilion, lebih rendah berbanding unjuran 2015 berjumlah AS$229 bilion. Agensi - 30/12/2015


No comments