Barang dalam rumah disita, Keluarga Datuk Hamidah dakwa tertekan

Keluarga Datuk Hamidah Osman tertekan selepas barang-barang dalam rumah milik bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng itu disita oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kerana gagal membayar saman dalam satu kes fitnah.


Datuk Hamidah Osman
Barang dalam rumah disita, Keluarga Datuk Hamidah dakwa tertekan
Adik kepada Hamidah, Hamizura berkata, kedua ibu bapa mereka paling tertekan malah bapanya, Osman Hussien, 83, asyik membelak surat mahkamah seolah-olah tidak percaya perkara itu berlaku.


“Mak dan abah tinggal bersama kakak (Hamidah). Abah kejap-kejap baca surat mahkamah tu. Bila orang datang dia tunjuk surat tu.

“Saya tahu, kakak (Hamidah) pun tertekan tetapi dia buat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya kasihankan dia,” katanya, lapor Sinar Harian.

Hamizura berkata, jasa dan sumbangan Hamidah selama ini terutamanya dalam mengembalikan Kerajaan Perak kepada Barisan Nasional (BN) seolah-olah dipandang sepi oleh pimpinan tertinggi UMNO.

Katanya, terdapat beberapa individu dan rakan-rakan terdekat yang masih mengenang jasa dan sumbangan Hamidah ketika mempunyai jawatan suatu ketika dahulu.

“Terharu juga bila ada kawan yang masih ingatkan kakak. Malah dalam satu kumpulan WhatsApps, mereka turut mengambil inisiatif melancarkan tabung khas bagi membantu kakak,” katanya.

Pada April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan Hamidah membayar ganti rugi RM150,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kerana memfitnah menerusi satu artikel yang memaparkan Khalid berpakaian ala-paderi.


Hamidah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, pernah menjadi EXCO Kerajaan Perak dan EXCO Penerangan Wanita UMNO dipecat sebagai ahli UMNO kerana melanggar disiplin parti pada bulan lalu.

Beliau didakwa terlibat secara langsung menganjurkan program yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


No comments