Beginilah Jadinya... Bila Kopiah Hanya Sekadar Hiasan Di Kepala...

“I ada satu kisah untuk you tulis, Fa,” kata Sham ketika saya terserempak dengannya di pejabat tempoh hari. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya segera mengeluarkan telefon bimbit dan merakam suaranya.


Bila Kopiah Hanya Sekadar Hiasan Di Kepala...
Bila Kopiah Hanya Sekadar Hiasan Di Kepala... (Gambar Hiasan)
“Kisah ni terjadi hujung minggu yang sudah. Pada waktu itu I sedang menunjukkan anak remaja I yang baru tiba dari kampung akan selok belok kotaraya Kuala Lumpur. Pusing punya pusing, akhirnya kami menaiki LRT dan tiba di Stesen Sentral,” ujar Sham memulakan ceritanya.


“Sambil berjalan menyusuri kawasan persekitaran Brickfields, kami terserempak dengan seorang wanita Cina yang tiada daya penglihatan. Dia berjalan menggunakan tongkatnya tanpa memerlukan pertolongan sesiapa. Entah mengapa, anak I terpanggil untuk terus mengekori pergerakan beliau dari sudut pandangan matanya.”

Tidak sabar untuk mengetahui akan perkembangan cerita Sham, saya segera mendesaknya, “Apa jadi lepas tu?”

“Dalam pada wanita tersebut berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkatnya, dia tidak sedar akan adanya sebuah beg besar yang terletak beberapa langkah di hadapannya. Tuan punya beg tersebut, seorang lelaki berkopiah yang agak berusia serta berjambang, walaupun menyedari kehadiran wanita tersebut, bertindak tidak mengendahkannya,” kata Sham, nadanya mempamerkan kekesalan.

“Anak I menarik lengan I seraya berkata ‘Daddy, kenapa pakcik tu tercegat saja di situ? Kenapa dia tak lalukan beg tu? Macamana kalau wanita tu jatuh tertendang beg?’.”

“Habis, apa you buat?” berkerut-kerut dahi saya, ingin tahu.

“I tak buat apa-apa, sebab pada sangkaan I, pasti lelaki berkopiah tu akan mengalihkan begnya sebab dia memang sedar akan kehadiran wanita tersebut. Tapi sebaliknya lelaki tersebut memandang wanita itu dengan penuh amarah, seolah-olah wanita itu yang bersalah sekiranya tertendang begnya,” kata Sham.

Bingung, saya bertanyakan padanya, “ Mungkin lelaki tersebut tak sedar wanita itu buta”.

Sham ketawa seolah-olah mengejek, “Fa, yang cacat penglihatan ialah wanita Cina tu, bukannya lelaki berkopiah.”

“Habis, apa jadi seterusnya?”

“Dalam pada semua orang di sekitar kawasan tersebut asyik memerhati tanpa mahu berbuat apa-apa, anak I sepantas kilat berlari ke arah wanita tersebut dan memegang tangannya menyebabkan langkah wanita itu terhenti. Nasib baik, kalau tidak, pasti dia sudah tersungkur di atas jalan,” ujar Sham.

“Setelah bertanya, rupa-rupanya wanita itu mahu ke YMCA tetapi sesat jalan. Jadi anak I menemaninya hingga sampai ke destinasi. Bangga rasanya I sebagai seorang ayah sebab punya anak yang berhati baik dan mahu membantu orang. Tapi sedih rasanya sebagai seorang Muslim melihat Muslim yang lain – berkopiah pulak tu, yang bersifat bak kurang pendidikan agama.”

Menurut Sham lagi, dalam perjalanan pulang, anaknya bertanya, “Daddy, kenapa pakcik tu tak nak tolong aunty tu? Adakah sebab dia Cina? Tapi bukankah Allah minta kita membantu sesama manusia?”

“Malu I Fa. Betul I cakap, I rasa malu. Kita sebagai orang Islam mendabik dada kononnya kita bangsa yang memperjuangkan agama yang ulung tapi perkara semudah membantu sesama manusia pun tak boleh nak buat. Seolah-olah kopiah, jubah dan jambang cuma menjadi hiasan!” agak beremosi saya lihat Sham pagi itu.

Saya sekadar senyum sahaja. Kekadang kita ni agak alpa – kita pamerkan keIslaman kita pada kopiah, jubah, janggut, celak serta minyak atar berdozen gelen seolah-olah itu mencerminkan keperibadian seorang Muslimin sedangkan ilmu kemanusiaan yang amat dituntut agama tiada di jiwa. Yang cuma ada hanyalah riak dan kebencian.


Dalam pada kita sibuk membina tiang di sekeliling kononnya bagi mempertahankan akidah dan agama daripada diceroboh dek musuh Islam, sesungguhnya kita lupa bahawa setiap individu bergelar umat Islam memainkan peranan penting sebagai pendakwah Islam. Bagaimana harus kita berdakwah sekiranya kita terus berperang dengan segenap manusia yang berbeda pegangan dengan kita?

Pada hemat saya, anak remaja Sham lebih bijak berdakwah berbanding mereka yang mengaku lebih Islam daripada yang lain. Sebetulnya status keIslaman kita terletak pada perilaku dan bukannya pada nama atau hiasan.

Wallahualam.


No comments