Bekas diplomat Malaysia salahkan ‘pegawai atasan korup’ dia tertekan

Bekas kakitangan diplomatik Malaysia Mohammed Rizalman Ismail yang mengaku bersalah atas dakwaan serangan sumbang ke atas seorang wanita New Zealand memberitahu mahkamah beliau tertekan di tempat kerja sehingga menyebabkan laporan penilaian mentalnya negatif.


Mohammed Rizalman Ismai
Budaya menyalahkan orang bawahan punca dia tertekan, dakwa Mohammed Rizalman Ismail semasa perbicaraan di Wellington hari ini. – Gambar fail AFP, 7 Disember, 2015.
Katanya, ini disebabkan beliau mempunyai “pegawai atasan korup” yang suka menyalahkan kakitangan bawahan.

BACA: Kes Serangan Seksual Wanita New Zealand, Ada Kaitan Dadah, Sihir?



Rizalman memberitahu Mahkamah Tinggi Wellington di New Zealand terdapat budaya “menyalahkan orang bawahan” di tempat kerjanya, lapor New Zealand Herald hari ini.

Rizalman berkata laporan yang dikeluarkan tentera Malaysia pada 2014 mengenai keadaan mentalnya mengandungi perkara negatif tentang dirinya kerana itulah “cara Malaysia” menyalahkan orang bawahan.

Laporan yang dihantar ke mahkamah juga mendapati Rizalman kekurangan tidur sebelum hari beliau melakukan kesalahan, bergantung kepada tahap penggunaan dadahnya.

Laporan juga menyebut ujian air kencing menunjukkan beliau mengambil alkohol dan ganja walaupun Rizalman mendakwa sebaliknya.

Laporan perubatan Wellington pada 2014 juga mendapati beliau dalam keadaan “tertekan dan gelisah”.

Minggu lepas, bekas kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia berusia 39 tahun itu mengaku bersalah atas kesalahan serangan sumbang ke atas seorang wanita New Zealand, Tania Billingsley pada Mei 2014, tetapi sedang menafikan fakta kes yang dibawa barisan pendakwaraya.

Beliau juga mengaku membuang air besar di depan kediaman Billingslet, yang didakwa merupakan sebahagian upacara untuk “menyihir” Billingsley, tetapi Rizalman mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan beliau cirit birit.

Beliau juga mendakwa Billingsley memberikan senyuman kepadanya dan menurutnya ia adalah “budaya Malaysia” ditakrifkan sebagai jemputan untuk mengikut wanita itu. – 7 Disember, 2015.


No comments