Dakwaan murid jual, hisap shisha di sekolah akan disiasat Jabatan Pendidikan

Jabatan Pendidikan Pulau Pinang akan memeriksa aduan seorang murid darjah empat menjual alat menghisap shisha kepada rakan-rakan sekolah.


Dakwaan murid jual, hisap shisha di sekolah akan disiasat Jabatan Pendidikan
Dakwaan murid jual, hisap shisha di sekolah akan disiasat Jabatan Pendidikan
Pengarah Shaari Osman berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung aktiviti murid itu, seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Beliau menjelaskan pihaknya akan bertindak selepas menerima laporan dari sekolah murid itu.

“Setakat ini, saya belum terima apa-apa laporan daripada pihak sekolah berhubung insiden itu,” kata Shaari

Sementara menunggu laporan dari pihak sekolah, beliau akan mengarahkan pegawai berwajib melihat perkara itu.


Shaari menambah pihaknya tidak menerima aduan mengenai kegiatan menghisap vape atau rokok elektronik seperti yang didakwa CAP yang mendakwa persatuan itu telah memeriksa dan mengesahkan kejadian itu selepas menerima aduan dari guru-guru dan ibu-bapa.

Menurut Shaari, Jabatan Pendidikan juga akan melihat dakwaan serius itu.

Jumaat lalu, CAP mendakwa seorang guru displin di sebuah sekolah rendah di Tanjung Tokong menangkap seorang murid perempuan menjual shisha, dua minggu sebelum cuti sekolah bermula.

Presiden CAP SM Idris mendakwa murid-murid berumur seawal lapan tahun didapati terjebak menghisap vape, samada menggunakan shisha atau rokok elektronik.

Sementara itu, Shaari memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Pulau Pinang menjalankan pelbagai program pendidikan anti-maksiat yang menurut beliau mendapat sambutan mengalakkan dari murid-murid.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pihak luar berjaya mempengaruhi sesetengah murid terjebak dalam kegiatan tidak sihat.

“Kita akan meneruskan program-program ini untuk membantu kanak-kanak itu. Walaubagaimanapun kita tidak boleh memantau kegiatan mereka di luar sekolah. Ibu-bapa juga perlu memainkan peranan,” kata Shaari.


No comments