Terkini

Dua Beradik Lemas, Sikap Manja Luar Biasa Jadi Petanda Pemergian

BATU PAHAT: Sikap manja yang agak luar biasa dua beradik dua minggu lepas dengan bapa rupanya menjadi petanda pemergian mereka.


Dua Beradik Lemas, Sikap Manja Luar Biasa Jadi Petanda Pemergian
Dua Beradik Lemas, Sikap Manja Luar Biasa Jadi Petanda Pemergian (Foto Utusan)
Nas Izaha Nasri, 27, berkata anak-anaknya itu, Muhammad Iman Naqiudin, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin, 10 bulan, kerap menunggu di pintu menyambutnya pulang dari kerja, sepanjang tempoh berkenaan sedangkan kedua-duanya jarang berbuat demikian sebelum itu.


"Apabila perkara ini terjadi (rakit tenggelam yang mengorbankan anak-anak itu), saya imbas semula dan barulah saya sedar manja mereka sedikit lain macam yang membuatkan saya rasa terkilan," katanya dengan tenang.

Dua beradik lelaki itu lemas dalam kejadian rakit tenggelam di Sungai Bekok dekat Yong Peng, di sini, petang semalam.

Nas Izaha, yang merupakan seorang Lans Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor, menceritakan kisahnya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Bahru, Yong Peng, hari ini.

Menurut Nas Izaha, dia sedang bertugas ketika menerima maklumat kejadian terbabit kira-kira 3.30 petang semalam daripada abang iparnya, Ali Abdul Raman Hairaddin, 28, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

"Abang ipar telefon dan beritahu anak-anak lemas... Iman dan Ikhwan di hospital. Bila saya tanya bagaimana keadaan anak-anak saya, abang ipar jawab, tidak tahu," katanya yang berasa cemas dan longlai sejurus dimaklumkan hal berkenaan.

Nas Izaha berkata dia pada mulanya tidak mampu memandu kereta untuk pulang ke Yong Peng, namun, terpaksa menggagahkan diri dengan ditemani ibunya sebelum tiba di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, pada 8 malam tadi.

Katanya, kali terakhir dia bertemu kedua-dua anaknya itu pada Rabu lepas iaitu sebelum kedua-duanya bersama isterinya, Siti Farahida Hairaddin, 26, pulang ke Yong Peng dengan menumpang kereta Ali Abdul Raman.

Mengenai Siti Farahida, Nas Izaha berkata keadaannya masih trauma.

Katanya, isterinya itu memberitahunya kejadian itu berlaku dengan pantas dan gagal menyelamatkan kedua-dua anak mereka kerana kesemua mereka terpisah selepas rakit itu terbalik.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, rakit kayu membawa 10 orang yang mempunyai hubungan keluarga itu tenggelam ketika kesemua mangsa sedang menyeberang sungai tersebut untuk melihat ternakan kambing mereka di tebing sungai.

Iman dan Ikhwan ditemui lemas sejurus kejadian itu manakala nenek mereka, Lana Ismail, 55, dan bapa saudara, Mohd Aiman Arif, 10, hilang ketika itu.

Namun, mayat Mohd Aiman kemudian ditemui pasukan bomba dan penyelamat kira-kira dua meter dari lokasi kejadian, pada 8.40 malam tadi, manakala mayat Lana ditemui terdampar di tebing di bawah jambatan sungai itu, 8.15 pagi tadi.


Kesemua empat jenazah itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 3.20 petang ini.

Selain Siti Farahida dan Ali Abdul Raman, mangsa lain yang terselamat adalah Hairaddin Masran, 58; Nor Diana Alisa Hairaddin, 31; Junaidah Yang, 28; serta Muhamad Ali An-naqi Abdul Raman, 2.

Nor Diana Alisa, bagaimanapun, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI. - Bernama


No comments