Terkini

Dyana Sofya Gesa Menteri Pendidikan Pantau Fobia Agama Di IPTA

Anggota DAP Dyana Sofya Mohd Daud mahu tindakan diambil terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana mengadakan satu seminar anti Kristian hujung minggu lalu dan mempersoalkan adakah logik menguatkan akidah umat Islam dengan cara memburuk-burukkan agama lain.


Dyana Sofya
Anggota DAP Dyana Sofya Mohd Daud mempersoalkan tiadanya tindakan diambil terhadap Universiti Teknologi Mara kerana mengadakan seminar anti Islam yang sama pada 6 Mei tahun lepas.
Bekas calon pilihan raya kecil Teluk Intan itu juga mempersoalkan mengapa tidak ada tindakan terhadap universiti itu kerana mengadakan seminar sama pada 6 Mei tahun lepas.

"Ini jelas menunjukkan UiTM membenarkan aktiviti provokasi keagamaan yang tidak sihat dan ingin menimbulkan kebencian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


"Cuba bayangkan sekiranya aktiviti sama dilakukan bertajuk anti Islam di institusi pengajian tinggi?" soalnya sambil menambah, sebagai negara berbilang kaum dan agama, Malaysia sepatutnya menghormati kebebasan setiap agama.

Katanya, lebih banyak program mengenai agama yang berbeza perlu diadakan bagi meningkatkan pemahaman antara satu sama lain ke arah Malaysia lebih harmoni.

"Sebagai seorang beragama Islam, saya percaya Islam cukup indah untuk didakwah tanpa perlu anti sesiapa pun," kata Dyana merujuk seminar bertajuk "Ancaman Gerakan Pemurtadan Kristianisasi" yang diadakan di kampus UiTM di Lendu, Melaka, pada Sabtu.

Sebelum ini, UiTM Shah Alam mengadakan seminar mengenai penggunaan perkataan "Allah" dan Kristologi yang mengundang penceramah dari Indonesia tahun lepas, di mana laporan polis dibuat di Selangor dan Sarawak terhadap seminar itu kerana didakwa mencaci agama Kristian.

Dyana menggesa Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh memantau aktiviti fobia agama seperti itu dan menghentikannya daripada berlaku lagi di institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak itu juga mendesak tindakan diambil ke atas UiTM yang bertanggungjawab menggalakkan aktiviti provokasi keagamaan sebegitu.


Semalam, seorang peguam menggesa Putrajaya membuka semula siasatan terhadap UiTM selepas ia mengadakan seminar kedua itu walaupun sebelum ini disoal siasat polis berhubung forum pertama tahun lepas. TMI – 15 Disember, 2015.


No comments